NasionalPolitik

Pengumuman tubuh kerajaan baharu: strategi mudah dibaca – Dr. Shamsul Anuar

Anwar Ibrahim mahu naikkan semula namanya dan parti yang tenggelam

TINDAKAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar tengah hari tadi bagi mengumumkan tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sebagai strategi Anwar untuk menghidupkan semula nama partinya yang sudah tenggelam.

Padangan itu dilontarkan oleh Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga merupakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli melalui perkongsian di Facebook akaun miliknya.

Menurut hemat Dr. Shamsul Anuar, bukan sahaja nama parti pimpinan Anwar sudah tenggelam tetapi nama Anwar Ibrahim juga mengalami nasib yang serupa dengan partinya itu.

“Ini strategi yang mudah dibaca. Ingat tak lagi peristiwa pada 16 September 2008? Kali ini, buat spekulasi lagi. Apatah lagi nama dan partinya terus tenggelam ketika Sabah sibuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN),” kata Dr. Shamsul Anuar.

PRN Sabah ke-16 akan diadakan pada Sabtu ini di mana 1.12 juta pengundi akan memangkah dan memberi mandat kepada parti yang akan membentuk kerajaan negeri itu kelak.

Menurut Dr. Shamsul Anuar lagi, beliau merasalah elok semua jentera Barisan Nasional (BN) terus fokus dan memberi tumpuan kepada usaha BN memenangi semua kerusi yang ditandingi di PRN Sabah.

Dan kita kalahkan parti Warisan (pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) terutamanya PKR pada PRN Sabah, ujar beliau.

“Mari terus kita bekerja untuk memastikan BN kembali berkuasa.

“Biarkan Anwar terus dengan mimpi dan strategi beliau yang mudah dibaca,” kata Dr. Shamsul Anuar.

Pada tengah hari tadi, dalam sidang akhbar, Anwar Ibrahim mengumumkan, beliau sudahpun mendapat sokongan kukuh daripada Ahli-Ahli Parlimen berbangsa Melayu dan Islam untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Dalam sidang akhbarnya, Anwar berkata, beliau juga telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pagi kelmarin. – SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button