Belang Bertempat

Pengumuman paling caca merba

PENGUMUMAN bakal calon pilihan raya umum ke-15 Barisan Nasional (BN) adalah pengumuman paling caca merba yang pernah aku ingat.

Daripada pengumuman calon, bertukar kepada pengumuman bakal calon, bermakna nama-nama yang diumum masih lagi boleh digugurkan pada saat akhir.

Memang sudah terang lagi bersuluh, Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN menggunakan gelanggang berkenaan untuk membalas dendam terhadap rakan-rakannya sendiri yang enggan menyelamatkan beliau daripada meringkuk di dalam penjara, walaupun mereka berada di dalam kerajaan.

Justeru beliau seperti yang sudah dijangka telah menggugurkan hampir kesemua menteri dan timbalan menteri kabinet Ismail Sabri Yaakob, kerana dendam itu dengan menggunakan alasan mereka semua pengkhianat kerana bersekongkol dengan Bersatu di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), walaupun pada hakikat mereka yang membawa BN keluar dari lubang gelap selepas dicampak rakyat pada pilihan raya lalu.

Kumpulan inilah yang menggerakkan kerjasama UMNO, Pas dan Bersatu bagi menyelamatkan kerajaan, selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah akibat krisis dalaman.

Kumpulan ini pastinya akan digantung atau dipecat keahlian UMNO jika tetap bertanding pada pilihan raya kali ini menentang parti sendiri.

Setakat ini Shahidan Kassim telah mengumumkan akan tentang BN di Arau, manakala Annuar Musa juga memberi gambaran akan menurut jejak yang sama.

Melihatkan kepada situasi malam tadi adalah sangat jelas Zahid akan tetap melaksanakan jajaran baharu yang digarap tiga tahun yang lalu.

BN dijangka tidak mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah dan terpaksa bergabung dengan komponen lain yang pastinya Pakatan Harapan diketuai Anwar Ibrahim yang merupakan sifu Zahid.

Cara itu sahaja dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan mendapat sokongan majoriti semua kaum dan bukan sebuah kerajaan melampau kanan iaitu dikuasai sepenuhnya oleh Melayu.

Atas alasan itu hasrat berkenaan dituntaskan, walaupun hakikatnya Zahid hanya mahu memastikan beliau tidak meringkuk di dalam penjara dan dilanggar pada pemilihan UMNO.

Ini adalah kerana selepas pilihan raya, akan diadakan pemilihan parti, ura-ura beliau akan ditentang oleh Ismail Sabri dan Khairy Jamaludin.

Ismail Sabry sudah dilumpuhkan bila soldadunya semua dikerat 18, manakala KJ telah dicampak ke kubang buaya untuk dibaham.

Zahid tidak mahu menjadi perdana menteri, takkanlah beliau membuang kes sendiri dan mengampunkan sahabatnya di dalam penjara iaitu Najib Razak.

Orang yang sanggup melakukan semua itu tentulah tidak asing lagi ialah Anwar.

Anwar sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi hasratnya sejak baligh untuk menjadi perdana menteri.

UMNO menjadi parti malang dan lebih malang majoriti pengundi muda berjumlah sekitar 8 juta tidak faham dan tahu muslihat ini.

Mereka terlalu mentah untuk memahami pencak politik tahap kitab kuno kesesatan alam barzah UMNO.

Bagi pengundi atas pagar dan neutral hanya mampu berharap semua ini tidak berlaku dan jika ia berlaku juga diharapkan awan hitam itu segera berlalu dan sinar baharu untuk negara tercinta kembali.

Mahu atau tidak negara perlu melalui fasa hitam ini kerajaan ia sudah termaktub kerana ini zaman sengketa.

Moga sengketa ini tidak sampai menambah derita watan dan isinya.

 

 

 

 

(Visited 1,205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button