Politik
Trending

Pengumuman Anwar mengecewakan – Isma

PENGUMUMAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan baharu adalah dipercayai mengecewakan.

Hal itu disifatkan demikian kerana memperlihatkan integriti Ahli-Ahli Parlimen yang akan melompat parti atau mengalihkan sokongan dengan mudah.

Dalam tahun 2020 sahaja, jika perkara itu benar-benar berlaku, bermakna negara akan ada tiga Perdana Menteri dalam tempoh setahun.

Justeru, ia dilapor akan memberi gambaran buruk kepada pelabur asing dan menjejaskan ekonomi akibat situasi politik negara yang tidak stabil.

“Apa yang pasti, negara akan menjadi tidak stabil, pelabur akan semakin bimbang dan ramai yang akan keluar dari melakukan perniagaan dan pelaburan di negara kita.

“Dalam keadaan pandemik yang menyebabkan ekonomi menjadi teruk ini, pastinya akan menyebabkan rakyat semakin menderita.

“Pengumuman beliau mendapat sokongan majoriti ahli parlimen dan secara automatiknya Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘jatuh’ adalah tidak mengejutkan tetapi mengecewakan.

“Kerana membuktikan wakil-wakil rakyat kita suka dan terlalu senang melompat parti.”

Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya semalam dalam satu kenyatannya.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman yang dibuat Presiden PKR dalam sidang akhbar semalam.

Dalam sidang akhbar tersebut, kelihatan hadir bersama Anwar adalah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar dalam sidang akhbar itu mendakwa mendapat majoriti lebih besar berbanding Perdana Menteri, Muhyiddin bagi membentuk kerajaan.

Namun, beliau mendakwa pembentukan itu belum dapat dilaksanakan berikutan pertemuan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong dijadualkan pada Selasa lalu ditangguhkan.

Walau bagaimanapun, Aminuddin kemudian berpandangan Yang di-Perutan Agong dapat melakukan sesuatu bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara.

Ini kerana, situasi sedemikian berisiko mencetuskan kekacauan dalam masyarakat.

Dalam masa sama juga, beliau turut berharap supaya kerajaan mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk menentukan semula kepimpinan negara.

“Rakyat berharap agar Yang Di-pertuan Agong dapat berbuat sesuatu bagi mengembalikan ketenteraman dan kestabilan politik negara.

“Saya berharap agar parlimen dapat dibubarkan dan serah kembali kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka.

“Kerana kita tidak tahan dengan sikap ramai ahli parlimen yang suka melompat kiri dan kanan tanpa prinsip yang jelas.

“Akhirnya yang rugi dan menderita adalah rakyat tetapi mereka tetap senang lenang di atas kerusi empuk dan gaji berpuluh ribu.

“Kita harap agar rakyat dapat membuat persiapan dan berani membuat perubahan untuk memilih calon yang paling berwibawa dan berprinsip tidak kira parti kerana kita sudah saksikan.

“Parti tidak berjaya ‘mengikat’ diri daripada melompat tetapi sebenarnya prinsip dan kewibawaan,” tegasnya. – SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button