
Pengukuhan Pasukan Simpanan Tentera Darat dilakukan secara berperingkat
KANGAR – Sebagai meneruskan kesinambungan kepada usaha-usaha baik terdahulu, beberapa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam usaha memperkukuh Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia.
Langkah-langkah tersebut termasuk penambahbaikan modul latihan, penawaran insentif dan elaun lebih kompetitif, kerjasama strategik dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kempen kesedaran dan promosi lebih meluas, serta pemodenan kelengkapan dan kemudahan latihan.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat yang baharu iaitu Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad kepada Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi sembah mengadap hormat yang diadakan di Kem Bukit Keteri, Perlis.
Menyambut keberangkatan Baginda ialah Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Sesi mengadap ini bertujuan untuk membincangkan pelan transformasi dan langkah-langkah strategik bagi memastikan pasukan Rejimen Askar Wataniah sentiasa bersedia, relevan, dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks pada masa hadapan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah merupakan Komander paling lama dalam kalangan komander-komander rejimen siri 500 Tentera Darat Malaysia.
Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif yang berasal dari Kampung Utan Kandis, Arau, Perlis mengambil-alih jawatan tersebut daripada Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab yang juga berasal dari Kangar, Perlis baru-baru ini.
Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat selama lebih 37 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia, telah menyumbang secara signifikan dalam pelbagai jawatan penting. Beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, Komandan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), dan Pengarah Akademi Tentera Darat (ATD).
Sumbangan beliau juga diiktiraf melalui beberapa kenaikan pangkat, termasuklah dinaikkan pangkat ke Brigedier Jeneral pada Mac 2023, serta dilantik sebagai Penasihat Ketenteraan kepada dua orang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kemudiannya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Untuk rekod, Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri sentiasa mengalu-alukan pendaftaran baru remaja yang sihat tubuh badan dan memenuhi semua keperluan minimum yang ditetapkan untuk sama-sama menyertai pasukan sukarela ini.
FOTO: