Nasional

Pengorbanan…karma politik sebenar

ANALISIS

DI Indonesia, seseorang ahli politik biasanya digelar politikus, satu-satunya istilah yang digunakan sebagai persamaan kepada istilah bahasa Inggeris, politician.

Tetapi panggilan atau istilah politikus ini amat kurang sopan bunyinya – seolah-olah politician atau ahli politik itu semacam tikus yang sentiasa menyental barang makanan orang. Maka panggilan ahli politik lebih sesuai di negara ini.

Sesekali, kita akan diingatkan dengan ungkapan siasah yang diketahui ramai ‘politik itu kotor’. Ungkapan itu tidak mengandungi buah fikiran yang benar. Padahal, yang kotor ialah pengamalnya, bukan politik.

Ada juga kata-kata bijaksana yang merumuskan bahawa hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca, harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang tidak harus dibuat kerana nanti orang akan nampak atau sikap orang yang mudah bertindak balas.

Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang baling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Malangnya, tidak semua ahli politik yang berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa. Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka.

Dalam konteks ini, ada baik­nya ahli-ahli politik juga harus mempunyai kuat kuasa perintah am sendiri seperti dikenakan kepada penjawat awam. Ini bagi tujuan mengawal dan membanteras perlakuan negatif dalam perjuangan. Memang sudah menjadi lazim dunia, apabila tiada kucing di rumah, tikus bisa bertandak.

Antara se­bab-­sebab yang menimbulkan suasana konfli­k dalam politik ada­lah pergese­ran personaliti, rasa kecil hati kerana berebut tempat atau rezeki, pertembungan pendapat dan fiil iri hati yang timbul dari hasad dan dengki.

Sebab itu dunia politik banyak mengandu­ngi perkara yang tidak tersurat. Dalam ke­adaan beginilah ba­nyak perlakuan melanggar nilai-nilai hidup yang dijulang tinggi.

Siasah atau politik adalah amalan manusia semenjak dunia terbentang. Politik mencari kerukunan dan kebaikan. Sedangkan Nabi pun ada pengalaman siasahnya.

Dalam Islam, politik sebahagian daripada kehidupan dan perjuangan, tetapi hanya untuk kebaikan, bukan untuk keburukan.

Maka, seseorang yang berhajat hendak menjadi wakil rakyat dan digelar Ahli Yang Berhormat mesti menerima tuntutan khidmat sebagai inti sari cita-citanya. Khidmat dan kedudukan tidak dapat dipisahkan dalam dunia politik moden di Malaysia.

Politik hakikatnya berupa alat dan kaedah mencapai kebaikan bagi orang ramai. Bukan untuk keburukan seperti agenda peribadi yang lahap kuasa, lahap kekayaan.

Yang memimpin mesti merasai degupan jantung dan naluri rakyat yang dipimpin kerana pada hakikatnya pemimpin adalah juga kuda lejang serta soldadu perjuangan rakyat.

Dalam politik sebenarnya daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena tarik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.

Perjuangan melalui politik bukan perjuangan untuk diri sendiri sebenarnya walaupun pada mulanya seseorang itu tidak menyedari akan hal itu.

Elemen pengorbanan, apatah lagi budi pekerti yang dipraktikkan, tetap ada dalam perjuangan.

Apa-apa yang kita ambil dari sistem itu akhirnya akan berbalas dengan apa yang kita sumbangkan dalam bentuk khidmat.

Jika pengorbanan itu melebihi ‘pengambilan’ daripada sistem itu, satu hari kejayaan akan datang dengan sendirinya. Bolehlah dikatakan bahawa ini semacam karma politik yang sebenar.

Dan politik yang tertib pekertinya berupa suatu ‘renaissance’ – peralihan kepada masa depan lebih cemerlang dan satu sistem membina negara bangsa yang sebenar.

Persoalannya, adakah hanya setelah memiliki kuasa atau ‘sudah terhantuk baru tengadah’, barulah budi pekerti seseorang ahli politik itu terserlah?

Dengan lain perkataan, ‘tiada tampuk kuasa, tiadalah budi pekerti? Macam itukah perkiraannya? – SM

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button