Nasional

Penghantar makanan beroperasi di bulan Ramadan

PUTRAJAYA, 17 April — Lebih 40 syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-hailing sedia ada dan penghantar makanan restoran makanan segera dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu pengusaha makanan di kawasan luar bandar dan bandar kecil yang menggunakan khidmat penghantaran syarikat lain ataupun individu juga boleh berbuat demikian.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata semua penghantar makanan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan perlu menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Kerajaan atau klinik swasta berdekatan untuk memastikan tahap kesihatan mereka.

“Syarat-syarat yang dikenakan ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelanggan.

“Kita mahu menjaga kesihatan mereka kerana mereka akan menghantar secara terus kepada pelanggan dan sudah tentu berlaku keadaan bersemuka antara mereka dan pelanggan yang memesan makanan dan demi kepentingan mereka, kita minta mereka disaring,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat e-hailing juga perlu memastikan setiap pekerja mereka menjalani saringan kesihatan.

“Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat e-hailing yang beroperasi manakala bagi restoran makanan segera, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengeluarkan arahan sama.

“Syarat-syarat yang dikenakan ini bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan pembukaan gerai atau bazar Ramadan secara berkelompok adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengenai bazar Ramadan, beliau berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memulangkan deposit yang dibayar kepada peniaga yang terlibat.

“Saya difahamkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa), bagi kawasan Kuala Lumpur, DBKL akan memulangkan semua deposit melibatkan peniaga bazar Ramadan yang kita tak benarkan (beroperasi),” katanya.

BERNAMA

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button