
“Pengguna Media Sosial Malaysia Serah Data Secara Sukarela, Sementara Syarikat Gergasi Untung Besar — Prof Selvakumar”
CYBERJAYA, 25 Jun 2025 — Malaysia kini mencatat lebih 25.1 juta pengguna media sosial, menjadikannya antara populasi paling terhubung di rantau ini. Namun, menurut Profesor Dr. Selvakumar Manickam dari Universiti Sains Malaysia, kebanyakan pengguna secara sukarela berkongsi data peribadi secara berlebihan — tanpa menyedari risiko yang terlibat.
“Kita bimbang apabila kerajaan kumpul data, tetapi kita diam bila syarikat seperti Meta, ByteDance dan Google kutip data untuk keuntungan komersial,” tegas beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber universiti tersebut.
Beliau turut membangkitkan isu keengganan orang ramai membaca terma dan syarat sebelum menggunakan aplikasi percuma, sedangkan platform seperti Gmail, Siri, TikTok dan Google Photos secara berterusan mengutip data pengguna — termasuk lokasi, corak penggunaan, dan kandungan peribadi.
Skandal Cambridge Analytica dijadikan contoh utama bagaimana data pengguna disalahgunakan untuk tujuan politik. Katanya, tanggapan bahawa aplikasi percuma adalah benar-benar “percuma” adalah mitos — sebaliknya ia adalah pertukaran data untuk perkhidmatan.
Prof Selvakumar menyarankan agar dasar pengumpulan data kerajaan dilihat secara adil dan bertanggungjawab. “Jika data digunakan untuk keselamatan siber dan pengesanan jenayah siber, kita wajar sokong. Tapi kita juga perlu pastikan pengawasan kerajaan berfungsi dengan telus dan selamat.”
Beliau menggesa orang ramai agar menyokong usaha kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membina ekosistem digital yang selamat — tanpa dibayangi persepsi berat sebelah terhadap kerajaan semata-mata.