Jenayah

Pengguna FB dirakam percakapan, muat naik kandungan jelek terhadap kumpulan etnik Sarawak

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, susulan aduan awam mengenai kandungan berunsur perkauman yang berpotensi menjejaskan sensitiviti masyarakat etnik di Sarawak.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, seorang individu telah hadir memberi keterangan kepada pihak MCMC pada Khamis, 15 Mei 2025.

“Sebuah telefon bimbit dan satu (1) unit kad SIM disita bagi membantu siasatan lanjut,” jelas MCMC dalam kenyataan media hari ini.

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan dan tindakan selanjutnya. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Justeru MCMC menasihatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika ketika memuat naik atau berkongsi kandungan di platform dalam talian.

Sebarang penyebaran kandungan jelik melampau, khususnya yang menyentuh sensitiviti kaum, agama atau Institusi Diraja, adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.

MCMC komited dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat dan harmoni, selari dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button