
Pengerusi IKIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2025 – Negara kehilangan seorang tokoh ilmuan dan pendakwah tersohor apabila Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur bin Manuty, disahkan telah meninggal dunia hari ini.
Berita pemergian Allahyarham disambut dengan penuh rasa sedih oleh pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan warga akademik, badan-badan dakwah, serta masyarakat Islam seluruh negara.
Ucapan takziah telah dizahirkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama seluruh kepimpinan parti, termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi serta para pemimpin dan ahli UMNO di seluruh negara.
“Ya Allah! Ampunilah beliau, berilah rahmat-Mu, kesejahteraan serta maafkanlah kesalahannya,” demikian doa yang tertera dalam kenyataan rasmi yang turut mengajak seluruh rakyat mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur dikenang sebagai seorang tokoh yang gigih menyampaikan kefahaman Islam yang moderat dan inklusif, selain memainkan peranan penting dalam wacana keilmuan dan pembangunan minda umat di negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan kehilangan yang mendalam susulan pemergian sahabat karib beliau, Allahyarham Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik, Anwar menyatakan bahawa beliau amat terkesan dengan berita itu, apatah lagi mereka sempat bertemu hanya beberapa hari sebelum pemergian Allahyarham.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya telah dikejutkan dengan pemergian sahabat karib saya almarhum Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang baru sahaja menyahut panggilan Ilahi,” tulis beliau.
Allahyarham merupakan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan tokoh yang aktif dalam bidang pemikiran Islam, pendidikan, intelektual serta perjuangan politik menerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Anwar turut mendoakan agar roh Allahyarham diberikan keampunan oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada. Beliau juga mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat kehilangan ini.
Allahyarham dikenang sebagai tokoh ilmuan dan aktivis yang berprinsip, memperjuangkan keadilan sosial dan pendidikan Islam progresif sepanjang hayatnya.