Hiburan

Filem 12 Mei hasrat dan impian Saiful Apek yang belum terlaksana

MEWARNAI corak dan lanskap hiburan tanah air sejak sekian lama, Saiful Apek, 54, mendambakan untuk bikin filem bertajuk 12 Mei kerana itu adalah hasrat dan impiannya yang masih belum mampu direalisasikan sehingga ke hari ini.

Saiful Apek atau pemilik nama sebenar, Mohd Saifulazam Mohammed Yusoff bukan menyimpan angan-angan mat jenin untuk bikin filem sebaliknya faktor kewangan yang menjadi penyebab mengapa filem 12 Mei itu masih belum dapat dizahirkan.

“Itu, 12 Mei ialah working title untuk filem yang saya impikan dan tajuk itu amat istimewa di hati saya kerana ia adalah tarikh saya dilahirkan,” kata Saiful Apek memulakan bicara usai Majlis memeterai perjanjian bersama Saliva Walit dan SW Gitu- Gitu Sdn Bhd sebagai Merchant kepada O2O Smart Store di Nilai, petang semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengasas Syarikat SW Gitu-Gitu Sdn Bhd, Noor Azian Mohamed atau lebih mesra dengan panggilan Puan Azie.

Usai majlis tersebut, bercakap kepada sekumpulan wartawan, Saiful Apek berkata, beliau mempunyai sebab tertentu mengapa memilih 12 Mei sebagai tajuk filem yang didambakan pembikinannya itu.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, itu tarikh saya dilahirkan dan sehari selepas saya dilahirkan, saya ditinggalkan di dalam hutan seorangan oleh ibu dan bapa saya kerana tragedi yang berlaku pada 13 Mei.

“Selama tiga hari saya disorokkan di dalam hutan dan apabila saya ditemui oleh orang dari Persatuan Teksi di dalam semak, saya dikatakan sedang ketawa. Mungkin itulah petanda saya jadi seorang pelawak,” cerita Saiful Apek di sebalik rasional pemilihan tajuk 12 Mei untuk filem.

Kata Saiful Apek lagi, setelah terpisah daripada ibu dan bapa kandung selama 21 tahun, akhirnya beliau bertemu kembali dengan keluarga kandungnya.

Menurut  Saiful Apek lagi, hasrat untuk bikin filem itu pernah dibualkannya dengan Allahyarham Bob Kuman tetapi impian itu masih  belum mampu dilaksanakan.

Realiti kos pembikinan filem 12 Mei yang berlatarkan era tahun 1969 dan 1970-an, kata Saiful Apek lagi, memerlukan bajet yang besar.

Itulah yang membuatkan filem 12 Mei ini, kata Saiful Apek, belum ‘menjadi’.

“Dari segi pengarahan, saya berfikir, apakah saya sendiri yang akan mengarahkannya kerana yang pasti, dalam filem 12 Mei, saya tidak akan berlakon melakonkan watak saya.

“Saya juga perlu mencari pelakon yang iras paras atau wajah seperti saya ketika zaman kanak-kanak, remaja sehinggalah dewasa.

“Oleh itu, perlu ada sesi uji bakat untuk mencari barisan pelakon yang sesuai untuk mendukung watak dalam filem 12 Mei,” ujar beliau.

Saiful Apek juga berkata, dalam filem 12 Mei yang bersandarkan kepada kisah benar, banyak orang penting dalam hidupnya yang mahu dipaparkan.

Walaupun plotnya serius tetapi ada unsur lawak atau sense of humour, kata Saiful Apek yang juga berpengalaman dalam pengarahan filem. – SM

BACA Saliva Walit dan SW Gitu-Gitu Sdn Bhd meterai perjanjian Merchant dengan O2O Smart Store

BACA Sa Ya cukup hebat walaupun tersingkir malam tadi

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button