AgamaNasionalNegeri

NGO Islam Perlis sokong tindakan MAIPs fail kes 3 kanak-kanak mualaf

HIMPUNAN Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Perlis (HIMPUNAN) hari ini bersepakat menyokong penuh tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencelah dalam petisyen penceraian antara Loh Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran Muniandy yang memeluk agama Islam bersama tiga anaknya.

Persetujuan ini melibatkan 31 NGO Melayu Islam di Perlis yang diwakili oleh Pengerusi HIMPUNAN yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PMPs) Cawangan Perlis, Azemi Salim bersama jurucakapnya yang juga Pendakwah Bebas, Ustaz Mohamad Shahefuddin Ahmad dan Setiausaha Al-Islah Perlis, Ustaz Adam Tengku Badrillah.

Azemi berkata, HIMPUNAN menyifatkan langkah MAIPs ini sebagai wajar dan telah dilakukan secara berpelembagaan.

“MAIPs melakukannya demi mempertahankan kesucian akidah Islam dan kemuliaan institusi Raja Melayu yang melindungi Agama Islam menerusi Majlis Agama Islam Negeri” kata Azemi dalam pertemuan dengan wartawan SUARA MERDEKA berhubung isu ini.

SEBAHAGIAN dari 31 NGO Islam Perlis (HIMPUNAN) semasa hadir menyerahkan memorandum berkaitan tiga kanak-kanak muallaf ini di pejabat MAIPs Kangar, Perlis baru-baru ini.

Pada 8 Mac lalu, Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili MAIPs dalam kenyataannya berkata, permohonan mencelah difailkan melalui Tetuan Zainul Rijal dibuat supaya badan agama itu mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal yang dimiliki Loh.

Dalam petisyen penceraian tersebut, Loh, 34, telah diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga anak mereka iaitu kembar perempuan berumur 14 tahun dan seorang anak lelaki berumur 10 tahun.

Zainul Rijal berkata, memandangkan kanak-kanak tersebut kini telah memeluk Islam dan didaftarkan di Perlis, MAIPs bertanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat akses ke atas hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam (Mualaf).

Sementara itu, jurucakap HIMPUNAN, Ustaz Mohamad Shahefuddin berkata, pihaknya juga masih berpendirian sama dengan tujuh resolusi yang terkandung dalam satu memorandum yang telah diserahkan oleh Azemi kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor pada 21 Februari lalu berkaitan kes tiga kanak-kanak ini.

“Dalam resolusi pertama, kita mahukan kuasa institusi Raja Jamalullail Perlis diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis, institusi Raja Jamalullail Perlis menjadi tonggak utama dan pelindung bagi hal ehwal Islam seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat memohon Raja Perlis campur tangan agar keimanan anak-anak bawah umur ini dapat terus dipertahankan,” katanya.

Resolusi kedua pula supaya manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 dikukuhkan penghayatannya, katanya.

Tambah beliau, Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersumberkan al-Qur’an dan As-Sunnah dengan kefahaman para Sahabat Rasulullah menjamin keadilan ditegakkan, menolak penganiayaan tanpa berat sebelah, serta hak-hak berpandukan wahyu diberi kepada mereka yang berhak, hatta kepada orang Bukan Islam sekalipun.

“MAIPs dan agensi-agensi Agama Islam Perlis hendaklah dihormati dan dibiarkan beroperasi ‘Without Fear or Favour’,” katanya.

Tambah Mohamad Shaheifuddin lagi,  di bawah kepimpinan Raja Muda Perlis, MAIPs telah ditransformasikan dengan hebatnya dan begitu juga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) dinaik taraf.

Sehubungan itu katanya, agensi-agensi Agama Islam yang menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing berpandukan lunas undang-undang hendaklah bebas daripada sebarang tekanan dan provokasi.

“Adapun kekurangan, kritikan dan saranan yang dikemukakan kepada Agensi-agensi Agama Islam hendaklah diterima dengan lapang dada dan dilaksanakan penambah baikan secara serius dan berterusan.

“Resolusi keempat pula merujuk nasib anak-anak bawah umur yang memeluk Islam hendaklah dijamin dan dijaga daripada dimurtadkan,” ujarnya.

Katanya, pilihan anak-anak bawah umur yang memeluk Islam dengan kebenaran salah seorang daripada ibu-bapanya hendaklah dihormati, dijamin sistem sokongan secukupnya untuk mereka mempelajari dan mengamalkan Islam,serta mestilah dipertahankan aqidah mereka daripada terjadinya riddah.

“Manakala resolusi kelima pula, pemerkasaan muallaf dan Dakwah Islam hendaklah diarus perdanakan,” katanya.

Penyampaian risalah Islam menerusi dakwah dan golongan muallaf yang disantuni adalah tidak lain daripada natijah melaksanakan suruhan ajaran Islam yang fundamental.

Oleh itu katanya, kedua-dua tanggungjawab berkembar ini memerlukan dokongan kepadanya diperhebatkan, serta tidak layak dihadapi dengan prasangka dan permusuhan.

Selain itu beliau berkata, resolusi ke enam pula, penjelasan tentang toleransi Pentadbiran Islam Negeri Perlis kepada Orang Bukan Islam hendaklah diperhebatkan.

“Bukan sekadar teori, Perlis menjadi tempat sebenar prinsip keterangkuman dan penerimaan yang berpandukan manhaj Ahli Sunnah dipraktikkan dengan penuh ikhlas dalam realiti kehidupan beragama rakyat,” katanya.

Dengan itu, pelbagai fatwa, garis panduan dan kisah-kisah sebenar peranan MAIPs yang mendorong keharmonian  antara umat Islam dengan orang bukan Islam hendaklah ditingkatkan penyebarannya, katanya dalam memberikan pencerahan.

Manakala bagi resolusi ke tujuh menetapkan jalur perjuangan yang berpaksikan perlembagaan dan undang-undang, serta menolak langkah keganasan, ekstrim dan radikal, katanya.

“Dalam mencapai tujuan-tujuan resolusi ini, kami senantiasa menjunjung Syariat Islam serta landasan undang-undang negara dan negeri secara berhemah dan bertamadun.

“Dengan ini, kami dengan tegas menolak segala pendekatan yang bersifat menyalahi prinsip taat kepada ’Ulil ’Amri dan kedaulatan undang-undang,” katanya. – SM

(Visited 689 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button