Uncategorized

COVID-19: 187 kes baharu, kebanyakannya warga asing

WARGA asing merupakan penyumbang utama kepada kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini.

Daripada 187 kes positif baharu hari ini, 173 kes membabitkan individu bukan warganegara Malaysia.

Sebanyak 10 kes pula adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan tujuh warga tempatan dan tiga pemastautin tetap atau pasangan kepada warganegara Malaysia

Hanya empat kes sahaja penularan tempatan yang benar-benar membabitkan warganegara Malaysia.

“Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 155 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

“Kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia adalah empat kes sahaja,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullahnya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 7,604 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,448 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Sehingga kini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya tiada kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal 115 atau 1.51 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, terdapat 62 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad ialah 6,041 kes atau 79.4 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Apa yang positif ini merupakan hari kedua berturut-turut tiada kematian yang dikaitkan dengan Covid-19.

Semalam pada hari kedua Syawal juga tiada kematian dicatatkan walaupun positif baharu Covid-19 kembali meningkat melepasi angka seratus dengan 172 kes dicatatkan.

Bagaimanapun daripada jumlah itu 159 kes tidak membabitkan warga tempatan Malaysia.

Daripada kes bukan warganegara itu, 112 kes dikesan di tiga Depo Tahanan Imigresen (DTI).

Sementara itu BERNAMA melaporkan di Sabah, Pengarah Kesihatannya, Datuk Dr. Christina Rundi berkata lebih 60 peratus kes COVID-19 di negeri itu adalah jangkitan dari dalam negeri yang kebanyakannya terdiri daripada kontak rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia telah membahagikan kes jangkitan COVID-19 kepada empat kategori iaitu Kes Import A yang membabitkan rakyat Sabah baru pulang dari luar negara dan mendapat jangkitan dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Indonesia.

“Kes Import B pula membabitkan rakyat Sabah yang baru pulang dan mendapat jangkitan dari luar negeri (Sabah) terutama dari Semenanjung Malaysia; Kes Import C membabitkan kes jangkitan (dalam negeri) tetapi dikesan di luar daerah tempat pesakit bermastautin dan kategori keempat adalah Kes Tempatan iaitu jangkitan dalam daerah tempat pesakit bermastautin.

“Majoriti kes jangkitan di Sabah adalah kontak kepada Kes Import B iaitu mereka yang dijangkiti di Semenanjung dan baru pulang ke Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

(Visited 452 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button