Politik

Pelbagai Isu Harus Dibahas & Dibincangkan Agar Parti Terus Relevan – Norshida Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berharap para pembahas pada Perhimpunan Agung Wanita esok dan juga UMNO pada Jumaat dan Sabtu ini dapat menggunakan ruang sebaik mungkin untuk parti dan juga untuk membawa suara rakyat.

Kata beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat banyak perkara dan pelbagai isu boleh dibawa dan dibahas untuk dibincangkan secara bersama bagi memastikan parti terus relevan sebagai pembawa suara rakyat.

“Banyak perkara melingkari masyarakat di luar sana… isu ekonomi, sosial, soal pendapatan rakyat, pengangguran dan sebagainya lagi antara tumpuan.

“Inilah juga masanya untuk kita sama-sama membawa cadangan yang terbaik untuk parti melangkah ke depan mendepani segala cabaran yang ada.

“Apatah lagi menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti sudah pastilah segala ramuan dan segala kombinasi pendangan pelbagai peringkat amat diperlukan,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah Perhimpunan Agung UMNO saban tahun tetap menjadi tumpuan masyarakat di luar sana yang akan melihat sejauh mana UMNO terkedepan dalam membela nasib mereka.

Begitu juga katanya sudah pasti ahli serta penyokong dan pendokong yang berada di seluruh negara akan tertumpu ke Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) untuk melihat apakah yang dirumus dan apakah yang akan dibawa untuk mereka bersama-sama mengharungi cabaran nanti.

“Kepada para perwakilan yang berada di WTC… selamat datang dan kepada pembahas sepertimana yang dikatakan tadi kitalah pembawa suara ahli parti… kita jugalah pejuang untuk rakyat di luar sana. Ayuh gunakan kesempatan ini untuk kesejahteraan bersama. Selamat bersidang,” ujarnya.

Oleh: Azman Abas, UMNO Online

(Visited 635 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button