JenayahNasional

Empat polis cedera ditetak lelaki mental dipengaruhi dadah

EMPAT polis termasuk dua pegawai berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat mengalami kecederaan apabila dilibas dengan parang dan kerambit oleh seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Sedar pada Sabtu lalu.

Serangan itu mengakibatkan dua mangsa luka di lengan dan terpaksa menerima lapan jahitan serta luka sepanjang sembilan sentimeter di belakang kepala manakala dua lagi cedera ringan di belakang badan dan tangan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, kesemua mangsa berusia 30-an dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Menurut Azmir, polis menerima maklumat di bilik Gerakan IPD Tumpat daripada orang awam memberitahu terdapat seorang lelaki mengamuk di sebuah rumah tanpa nombor di belakang tangka air di Kampung Sedar.

“Pada jam 8.30 malam Sabtu lalu, kami menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki dipercayai sakit mental mengamuk dan pegawai serta anggota terbabit bergegas ke lokasi untuk membuat tangkapan segera.

“Semasa proses tangkapan itu, suspek yang bersenjata sebilah parang dan kerambit bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.

“Dalam pergelutan itu, semua mangsa mengalami kecederaan termasuk dua agak parah dan menerima jahitan akibat terkena libasan suspek yang berada di bawah pengaruh dadah itu,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azmir berkata, suspek berjaya ditahan dan pihaknya merampas sebilah parang berukuran 23.5 inci serta sebilah kerambit sepanjang tujuh sentimeter.

Tambahnya, saringan mendapati, suspek berusia 36 tahun yang memiliki kad pesakit mental itu positif dadah jenis methampethamine.

“Semakan yang dibuat juga mendapati suspek memiliki satu rekod lampau di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan curi kenderaan.

“Lelaki itu direman empat hari mulai semalam hingga 16 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 353 KK serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya. -SM

(Visited 362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button