MahkamahNasional

Datuk dan dua anak didakwa sebabkan kematian warga asing

TIGA beranak termasuk bapa bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan menyebabkan kematian seorang kerani warga India yang mayatnya ditemukan dalam guni, dua minggu lalu.

Tertuduh, ahli perniagaan, V Nanta Kumar, 51, dan dua anaknya, Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian A Vinayagamoorthy, 41.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan membawa kepada pembunuhan di sebuah tapak besi buruk di Jalan Bersatu BS 5, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, pada jam 1.30 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas tertuduh kerana pertuduhan itu tidak tergolong dalam kesalahan boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Suraj Singh memohon jaminan diberikan dengan alasan ketiga-tiga anak guamnya mempunyai masalah kesihatan.

Nanta menghidap penyakit kencing manis dan tulang belakang, Miren mempunyai masalah asma dan Krithik pula memerlukan rawatan selepas terbabit kemalangan.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 September depan.

Sebelum ini dilaporkan, mayat seorang lelaki warga asing ditemukan dalam guni di tapak besi buruk di Taman Bukit Serdang, dipercayai dipukul sehingga mati.

Seramai 13 individu termasuk tiga wanita dan majikan mangsa ditahan bagi membantu siasatan. – SUMBER BERITA HARIAN – SM

BACA Polis cari lelaki warga asing hendap pekerja wanita kedai serbaneka

BACA Panjat bonet kereta wanita, lelaki warga asing direman

 

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button