Nasional

Jawatan tidak seharusnya pemenuh kerusi ahli politik semata-mata

Berbanding menteri lain, pelantikan semula Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ke jawatan Menteri Pengajian Tinggi paling banyak mendapat kritikan bukan sahaja netizen, bahkan persatuan mahasiswa sendiri.

Selain komen-komen pada media sosial menyatakan kekecewaan prestasi Noraini yang buruk, ramai juga kecewa kerana sikap mementingkan diri sendiri berbanding negara apabila beliau meletakkan jawatan ketika negara berdepan situasi getir ketika ini.

Kini Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) turut menggesa supaya pelantikan menteri baharu pengajian tinggi dipilih dalam kalangan mereka yang mempunyai wawasan dan sedia berkhidmat untuk kepentingan mahasiswa dan bukan kerana untuk memenuhi kerusi ahli politik semata-mata.

Kenyataan itu berkata, pelantikan semula penyandang jawatan itu sebelum ini, Noraini tidak menunjukkan langkah terhadap pencapaian visi ke arah mewujudkan perubahan baru yang lebih baik, susulan pelbagai masalah dan kegagalan telah timbul sepanjang beliau memberikan khidmatnya sebelum ini.

“Jawatan ini tidak seharusnya diberikan begitu sahaja sebagai pemenuh kerusi buat ahli politik semata-mata.

“Kegagalan beliau dalam menjalankan tugas sewaktu beliau memegang jawatan tersebut dalam kerajaan yang lepas telah membuktikan bahawa beliau tidak sesuai untuk memegang jawatan ini tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang menteri pengajian tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi selepas parti itu mengumumkan penarikan balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau antara 15 ahli Parlimen UMNO yang menandatangani surat akuan penarikan balik sokongan tersebut sehingga memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

KMUM berkata, antara siri kegagalan tersebut adalah apabila KPT tidak merancang pergerakan pulang mahasiswa ke kampung halaman mereka dengan sebaiknya ketika pandemik COVID-19.

Kegagalan itu menyebabkan sehingga kini KPT masih belum dapat menyelesaikan tuntutan KMUM mengenai kos ujian calitan RT-PCR yang perlu ditanggung sendiri oleh mahasiswa Sabah dan Sarawak.

“Pada Oktober lepas, kebanyakan mahasiswa ambilan baharu telah mengalami masalah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing apabila pengumuman penangguhan pendaftaran secara bersemuka diumumkan sehari sebelum pendaftaran di kampus berlaku.

“Ini merupakan suatu permasalahan apabila pengumuman ini dibuat seolah tidak mengambil kira kebanyakan mahasiswa dari negeri lain yang hadir ke kampus untuk mendaftar tidak dapat menetap di kolej,” kata KMUM.

Selain itu, KMUM juga berpandangan bahawa Noraini gagal dalam menggerakkan usaha untuk memansuhkan AUKU, sekaligus menunjukkan bahawa pihak kerajaan sepertinya tidak berminat membudayakan pemikiran secara kritis dan demokratik.

KMUM sedia maklum bahawa halangan-halangan yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah memberi beberapa kekangan daripada pelbagai sudut buat mahasiswa.

“Kekangan dari segi autonomi kewangan di mana wujudnya karenah birokrasi pentadbiran universiti dan halangan bagi para mahasiswa dan mahasiswi untuk bebas bersuara masih lagi wujud walaupun dilihat kini tidak lagi relevan,” katanya.

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button