NasionalNegeri

Pengarah Kesihatan tersentuh keprihatinan Duli-Duli Tuanku terhadap rakyat Perlis

PENGARAH Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim begitu tersentuh dengan keprihatinan Duli-Duli Tuanku terhadap rakyat di negeri Perlis.

Buat pertama kalinya beliau melihat sebuah Pusat Dialisis dengan kapasiti begitu besar dibina di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar atas keprihatinan Duli-Duli Tuanku kepada pesakit buah pinggang di negeri ini dan usaha Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Demikian dimaklumkan beliau di ‘Majlis Perpisahan: Sanjungan Budi’ meraikan pertukaran keluar beliau yang dihoskan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar, malam semalam.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dr Sirajuddin akan bertukar atas sebab kenaikan pangkat sebagai Pengarah Kesihatan Perak berkuat kuasa mulai 18 Julai 2022 dan akan mula melaksanakan amanah baru bertempat di Ipoh mulai 25 Julai ini.

Menurut beliau, selaras dengan perkembangan kemajuan negara, infrastruktur kesihatan di negeri ini juga turut menerima suntikan arus pemodenan.

Katanya, beberapa fasiliti baru lengkap dengan peralatan perubatan terkini telah mula beroperasi sepanjang beliau di sini seperti Klinik Kesihatan Kampung Gial dan Klinik Kesihatan Chuping.

Tambah beliau, selain itu pelbagai projek sedang rancak pembinaannya dan dijangka akan beroperasi pada tahun hadapan seperti Klinik Kesihatan Padang Besar, Klinik Kesihatan Pauh dan Blok Sambungan Wad Rawatan Rapi di HTF.

Sebagai tambahan, Klinik Kesihatan Beseri juga akan dibina mulai tahun hadapan dengan sebuah bangunan klinik empat tingkat bagi menggantikan bangunan klinik sedia ada.

Di samping itu juga katanya, pelbagai peralatan perubatan dan aset turut ditambahbaik serta dinaiktaraf dari semasa ke semasa.

“Perolehan aset baru seperti ‘mobile truck’ untuk kegunaan program dan promosi kesihatan serta sebuah bas yang akan menjadi Klinik Pergigian Bergerak juga diharap akan mampu menjadi pembakar semangat bagi meningkatkan lagi taraf perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” jelas Dr Sirajuddin.

Tuanku Raja Perempuan dalam titah baginda memaklumkan majlis tersebut diadakan khusus untuk menghargai jasa Dr. Sirajuddin yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang untuk seluruh rakyat Negeri Perlis dan berharap beliau terus maju dalam kerjaya beliau di masa akan datang. – SM

(Visited 566 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button