Nasional

Tidak ada PKP seluruh negara – Ismail Sabri

MENTERI Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan tidak ada Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini juga tidak memutuskan perkara tersebut.

“Kita tidak akan isytiharkan PKP walaupun semalam 287 kes, seperti di Sabah daripada 113 kes sebanyak 35 kes melibatkan Kluster Benteng dan di Kedah dari 129 kes semalam sebanyak 128 kes melibatkan dalam penjara

“Kalau dilihat di seluruh negara hanya Selangor catat 31 tak sampai 40 kes untuk jadi zon merah. Negeri lain hanya 1 hingga 3 kes sahaja.

“Jadi ia bukan membimbangkan. Tapi tak mungkin kes jadi kosong seluruh negara, kerana Covid-19 masih ada. Kalau satu dua kes nak lockdown semua, sampai bila tak boleh dibuka, PKP seluruh negara,” kata Ismail Sabri dalam sidang akhbar hari ini.

Mesyuarat  khas pagi tadi turut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin serta menteri-menteri berkaitan.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu Covid-19, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga tidak akan mengenakan sekatan perjalanan antara negeri.

“Kalaupun kes tinggi, contohnya di Selangor, kita akan kenal pasti kawasan yang disasarkan. Kita tidak tutup seluruh Selangor. Kalau di Shah Alam misalnya kes tinggi, mungkin satu dua kampung atau flat kita kenakan PKPD. Kita tidak PKPD seluruh negeri.

“Tidak ada keperluan hendak sekat rentas negeri atau daerah,” kata Ismail Sabri.

Beliau menasihatkan rakyat agar tidak panik dengan pertambahan kes kerana jangkitan Covid-19 masih terkawal.-SM

 

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button