SukanUncategorized

Penganjur Masters Indonesia siasat punca keracunan pemain Malaysia, Thailand

JAWATANKUASA penganjur kejohanan Badminton Masters Indonesia 2022 sedang menyiasat kes disyaki keracunan makanan yang dialami pemain jemputan dari Malaysia dan Thailand selepas sarapan pagi di hotel semalam.

Jurucakap Pengurus Pusat Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia, Broto Happy berkata, pihaknya amat bersimpati dan prihatin atas perkara itu yang diketahuinya melalui sosial media.

“Setakat ini, belum ada laporan rasmi yang dibuat pemain mahupun pengurus pasukan kepada jawatankuasa penganjur mengenai keracunan makanan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau bagaimanapun berkata, pemain terlibat telah dirawat di hospital yang tiada kaitan dengan jawatankuasa penganjur atau hotel rasmi kejohanan.

Tempat makan pemain dan pegawai juga dipisahkan daripada tetamu hotel mulai hari ini untuk mencegah kejadian yang sama berulang.


Hasil koordinasi dengan jawatankuasa penganjur, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggesa pengurus pasukan mengingatkan pemain agar berhati-hati memesan makanan dari luar penyediaan hotel atau makan makanan tertentu.

Sementara itu, Broto berkata, hasil ujian makmal mendapati pemain yang dirawat berkemungkinan mengambil makanan tidak sihat atau mengandungi bakteria dan bukan akibat keracunan makanan.

“Kalau keracunan makanan, kesannya serta-merta,” kata Dr Grace Corlesa Joselini yang merupakan doktor kejohanan.

Tambah beliau, pemain yang menginap di dua hotel rasmi kejohanan bebas memesan makanan secara dalam talian atau makan di restoran berhampiran.

Malam tadi, media dalam talian melaporkan lima pemain Malaysia dan beberapa pemain Thailand mendapatkan rawatan di hospital akibat keracunan makanan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia, Rexy Mainaky ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. – BERNAMA – SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button