Mahkamahpilihan

Penganggur mengaku tidak bersalah tunjuk keris, batang besi

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menunjukkan keris dan batang besi serta cuba menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua pengawal keselamatan di sebuah resort di Pulau Besar, di sini, Isnin lalu.

Tertuduh Kamal Mohamed, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didapati dengan sengaja menunjukkan keris kecil dan batang besi kepada Mohd Arabee Daud dan Muhammad Taufik Abdul Kahar masing-masing berusia 40 tahun.

Tertuduh juga didakwa hampir menggunakan kekerasan jenayah terhadap mereka di Puteri Island Resort, Pulau Besar, dalam daerah Melaka Tengah, pada kira-kira jam 12.30 tengah hari 19 Disember lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 beserta syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi serta melapor diri sekali seminggu di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana merupakan anak yatim piatu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan mematuhi syarat tambahan berkenaan dan kes akan disebut semula pada 7 Februari tahun depan. – SM

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button