KesihatanPenyakitRencah Hidup

Pengambilan dos penggalak elak risiko jangkitan Covid-19

Elak jangkitan berulang jejas produktiviti, ganggu pertumbuhan ekonomi negara

PENGAMBILAN vaksin dan dos penggalak perlu diteruskan walau pun kadar jangkitan dan kematian kesan serangan Covid-19 kini masih terkawal.

Ini berikutan sejak Ogos tahun lalu, varian terbaharu dari China iaitu BA.5.2 dan BF.7 sudah berada di negara ini.

Kes ini menyumbang kepada 97.5 peratus daripada semua jangkitan tempatan.

Keberadaan dua varian ini menunjukkan bahawa ancaman  masih ada walaupun risiko serangan dan peratus kematian dalam kawalan.

Sebagai usaha menjaga kesihatan dan meningkatkan sistem imum badan, pengambilan vaksin dan dos penggalak perlu diambil seperti dinasihatkan oleh pakar.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sub-varian ini sudah lama dikesan di negara ini iaitu sejak Ogos 2022 lagi.

Sehingga 31 Disember 2022, data terkini mendapati 4,152 kes dijangkiti dengan BA.5.2 dan 3 kes varian BF.7 dikesan.

COVID-19 ini mampu ditamatkan dengan pendekatan masyarakat dan kerajaan secara menyeluruh menerusi pendekatan “whole-of-society” dan “whole-of-government”.

Langkah pencegahan yang terbukti berkesan secara saintifik perlu dikekalkan dan diperkukuhkan di samping menitikberatkan pemberian vaksinasi.

Jejas pertumbuhan ekonomi

Kesihatan berpanjangan penting kerana faktor ini menjurus kepada peningkatan pendapatan diri dan keluarga, produktiviti di tempat kerja sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.

Kebolehan negara mengawal COVID-19 akan merancakkan lagi sektor ekonomi selain meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan.

Berhadapan situasi ini juga, semua pihak terutama majikan perlu peka akan keperluan perlindungan kakitangan mereka.

Ini berikutan ancaman daripada Varian XBB subvariant omicron atau dikenali sebagai Kraken turut menular di negara ini sejak Oktober lalu.

Dalam ikhtiar mengekang masalah ini, masih ada segelintir pihak enggan melengkapkan vaksin. Laporan mendapati orang ramai kurang memanfaatkan tawaran untuk mendapatkan dos penggalak di semua fasiliti kesihatan kerajaan.

Tanpa mereka sedari keengganan itu mengundang risiko jangkitan mahupun jangkitan berulang hingga meragut nyawa.

Tingkat sistem imun badan

Pengambilan dos penggalak penting kerana kadar antibodi akan berkurangan dalam tempoh enam bulan.

Pengambilan dos penggalak pertama atau kedua ini sangat diperlukan bagi meningkatkan sistem pertahanan badan bagi mengelak risiko jangkitan berikutan penularan varian XBB ini.

Ini kerana jangkitan boleh berlaku disebabkan oleh “immune escape” yang lebih tinggi oleh varian XBB.

Peningkatan kes yang sering dilaporkan disebabkan tahap antibodi berkurangan terutamanya bagi mereka yang pernah dijangkiti atau menerima vaksinasi lebih enam bulan lalu. Keadaan ini menyebabkan jangkitan semula boleh berlaku.

Berhadapan situasi semasa, sebuah platform ditubuhkan iaitu Universiti Malaya Vaccine Communication Collaborative Effort (UMVOICE) bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai pentingnya pengambilan vaksin dan dos penggalak bagi mengelak jangkitan berulang.

UMVOICE menyarankan semua terutamanya golongan rentan seperti warga emas, individu yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan juga digalak mengambil dos penggalak kedua sebagai ikhtiar meningkatkan sistem imun badan bagi mengelak risiko jangkitan.

Teruskan inisiatif pencegahan

Di samping itu, orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat awam.

Pencegahan lain termasuk kerap membasuh tangan dan mengelakkan diri daripada berada di tempat sesak.

Apa yang lebih penting ialah, jika anda merasakan diri bergejala, terus jalani ujian COVID-19 selain mengamalkan isolasi sendiri secara positif. Pendekatan ini  membantu mengurangkan risiko jangkitan.

Pakar di UMVOICE juga mengingatkan bahawa risiko  serangan ini boleh dielak.

Ini berikutan jangkitan COVID-19 juga memungkinkan seseorang menghidap Sindrom COVID-19 berpanjangan atau “long-COVID syndrome”.

Kesan lebih serius boleh berlaku termasuk gangguan kesihatan mental disebabkan jangkitan dan juga kesan emosi kehilangan orang tersayang yang juga ketua keluarga.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran umum mengenai pentingnya pengambilan dos penggalak ini, pembabitan pemimpin masyarakat, organisasi dalam komuniti, pakar perubatan dan profesional penting.

Mereka berperanan melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat tepat pentingnya mengambil vaksin dan dos penggalak.

Maklumat daripada pakar ini merangkumi aspek komunikasi berkesan, inovasi dan kepercayaan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan.

Maklumat ini perlu disalurkan dari semasa ke semasa kerana umum beranggapan kita sudah bebas daripada serangan COVID-19.

Orang ramai sering lupa dengan menganggap COVID-19 sudah tiada, sebenarnya tidak kerana kehadiran varian baharu tetap ada walaupun risikonya rendah dan kita masih belum bebas daripada risiko dijangkiti.

Walaupun kes tidak seteruk dahulu, namun kesedaran umum perlu ada dengan mengambil langkah perlindungan.

Keadaan lebih mengelirukan berikutan penyebaran maklukmat kurang tepat mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin. – Oleh Dr Sazali Basri – Pakar Klinikal Unit Penyakit-Penyakit Berjangkit/Panel UMVOICE Jabatan Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Nota: UMVOICE adalah kerjasama antara doktor penyelidik dan penasihat teknikal berpusat di Universiti Malaya bagi menangani isu keraguan terhadap vaksin melalui komunikasi berkesan. – SM

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button