Bola SepakSukan

Pengalaman luas Darren tarik minat Nafuzi

PENGALAMAN luas serta corak permainan pantas yang dipamerkan bekas pemain Johor Darul Ta’azim ll (JDT ll), Darren Lok menarik minat ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain untuk mengikat pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu ke dalam pasukannya bagi musim 2020.

Nafuzi berkata kehadiran pemain tinggi lampai itu dalam skuad Penyu musim ini yang bergandingan dengan penyerang import kelahiran Senegal, Dominique da Sylva diyakini mampu memantapkan jentera serangan TFC dalam misi memburu kemenangan.

Beliau berkata walaupun hanya seminggu menjalani latihan bersama TFC, pihaknya berpuas hati dan memutuskan mendapat khidmat Darren bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bermula pada 29 Feb ini.

“Kehadiran beliau (Darren) juga memberikan saya lebih pilihan pemain pada bahagian serangan. Ia juga mewujudkan persaingan sihat bagi pemain-pemain lain merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya yakin pengalaman luasnya di kelab Eastbourne Borough, England, Johor Darul Ta’azim (JDT) dan JDT II akan membantu menguatkan pasukan TFC pada musim ini,” katanya ketika dihubungi.

Darren yang berusia 30 tahun itu sah menjadi milik TFC selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu selama setahun, semalam.

Beliau menjadi pemain berdarah kacukan kedua yang mengikat kontrak bersama TFC selepas pemain naturalisasi kelahiran Malaysia-Scotland, Stuart Wark.

Selain mewakili pasukan negeri dan kelab bola sepak di luar negara, Darren yang berusia 30 tahun pernah mewakili pasukan kebangsaan pada Piala Suzuki 2006 dan kali terakhir membuat penampilan bersama skuad Malaysia pada 2018. – BERNAMA

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button