BeritaNasionalPendidikan

Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja UniMAP Nurfatin Nabila mahu jadi Ir.

PENERIMA Anugerah Pelajaran DiRaja pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Ke-15, Nurfatin Nabila Norasri berazam menjadi seorang jurutera profesional (Ir.) dalam tempoh 10 tahun lagi.

Nurfatin Nabila, 26, juga tidak menjangka akan mengulangi kejayaan setelah menerima Anugerah Naib Canselor semasa beliau menjadi graduan Diploma.

Nurfatin Nabila Norasri dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-15.

Kegembiraan berganda bagi anak jati Kuala Lumpur ini apabila beliau berpeluang bergambar dengan Pro Canselor UniMAP, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas istiadat konvokesyen.

Pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) yang sudah bekerja di Shah Alam, Selangor ini mengakui tidak mudah untuknya menguruskan masa antara akademik, aktiviti universiti dan masa bersosial.

“Semua jadual perlu disusun dengan teliti dan sentiasa fokus dalam mengikut jadual ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah yang sama adalah Aw Hui Yee, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan).

Untuk rekod, Anugerah Pelajaran Diraja ini dikurniakan oleh Majlis Raja-Raja/Yang DiPertua Negeri menerusi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kepada graduan ijazah pertama di atas kecemerlangan akademik, aktif ko-kurikulum yang meliputi persatuan/badan beruniform serta mewakili universiti/negeri/negara dalam pertandingan seperti debat, rekacipta serta aktif sukan.

Sementara itu, penerima Pingat Emas Canselor ialah Nur Shahirah Mohd. Zaini, 26. Beliau adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian) (Pemproses Bahan).

Turut menerima Pingat Emas Canselor ialah Poh Lee Ching, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Komputer) manakala Pingat Naib Canselor bagi kategori pelajar tempatan (sarjana muda) diterima oleh Chawalit a/l Udom Sak.

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) (Elektronik Bersepadu).

Sundeep Singh Bhullar a/l Manmohan Singh, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Bahan) juga menerima pingat yang sama.

Lain-lain penerima Pingat Emas Canselor kategori pelajar antarabangsa (Sarjana Muda) ialah Fuad Hassan Adan, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Perhubungan).

Penerima Pingat Emas Naib Canselor bagi kategori pelajar tempatan (Diploma) diterima oleh Julaiha Jumat, graduan Diploma Kejuruteraan (Kejuruteraan Mikroelektronik) dan Ng Kuang Yee, graduan Diploma Kejuruteraan (Kejuruteraan Pembuatan).

Bagi Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Pengajian Siswazah bagi kategori Anugerah Tesis Terbaik Peringkat Ijazah Doktor Falsafah diterima oleh R. Santherleka dari program Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Bioteknologi).

Sharifah Zarihan Syed Zaharim Helmi dari program Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Rekabentuk Sistem Terbenam) menerima Anugerah Kecemerlangan Program Pengajian Siswazah dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Terbaik Program Mod Campuran.

Graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Kejuruteraan), Tan Kia Ying menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Pengajian Siswazah dan PNGK Terbaik Program Mod Kerja Kursus.

Kesemua penerima, masing-masing mendapat Pingat Bersadur Emas, Hadiah Wang Tunai dan Sijil Penghargaan pada Istiadat Konvokesyen 15 UniMAP bertempat di Dewan Ilmu, Kampus Alam Pauh Putra, Kangar, Perlis, hari ini. – SM

(Visited 2,809 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button