Nasional

Penerbit Rebirth mohon maaf, akan lebih sensitif

Penerbit kulit buku kontroversi Rebirth memohon maaf berhubung gambar hadapan buku tersebut yang mirip Jata Negara.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin berkata, pihaknya tidak berniat untuk menghina sesiapa atau apa-apa.

Menurutnya, bagaimanapun tanpa sengaja kulit buku itu telah menyingung perasaan orang ramai dan dia meminta maaf.

“Pada masa depan kita akan lebih sensitif,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini. 

Tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen berhubung sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ disunting oleh penulis, Kean Wong.

Kulit buku itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Beberapa pihak menganggap gambar Jata Negara yang diubah suai dengan diletakkan seekor buaya, wajah dua ekor harimau ditukar dengan muka tengkorak manusia dan seorang bayi lelaki bogel pada lambang bulan dan bintang sebagai menghina.

Media semalam melaporkan, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata,beberapa individu akan dipanggil berhubung kulit buku tersebut.

Mereka yang terbabit dalam penghasilan buku itu termasuk pengarang, editor dan penerbit akan dipanggil membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.-SM

(Visited 465 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button