Nasional

Wakil syarikat dari Thailand dan Qatar intai peluang pelaburan dalam Malaysia

Peneraju tenaga boleh baharu dan syarikat terkemuka di dalam industri teknologi hijau di Thailand, Energy Absolute Malaysia Sdn Bhd (EA) mula mengintai peluang untuk bekerjasama dengan Malaysia.

Perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook miliknya apabila beliau menerima delegasi dari Thailand yang diketuai oleh Somphote Ahunai yang mewakili EA.

“Saudara Somphote adalah ‘Elon Musk of Thailand’ dan Energy Absolute adalah sebuah peneraju tenaga boleh baharu dan syarikat yang terkemuka di dalam industri teknologi hijau di Thailand.

“Syarikat EA yang mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak THB 380 bilion bersamaan RM45 bilion ingin meneroka pasaran Malaysia berlandaskan prinsip-prinsip tertentu,” kongsi Anwar.

Antara prinsip yang ditekankan adalah seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu (pilot project) yang akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Berhad (CFM) untuk membangunkan industri teknologi hijau di Malaysia.

Selain itu, ia juga perlu merangkumi pemindahan teknologi EV ke Malaysia, membina kilang pembuatan dan bekalan EV, khususnya dalam sektor pengangkutan seperti bas elektrik, bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, kereta api elektrik, kereta mobil elektrik dan lain-lain dengan nilai RM5 billion.

“Sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan budaya dan warisan yang hampir sama, kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan yang tinggi dengan kerjasama di pelbagai lapangan yang relevan,” ujarnya.

Dalam hari yang sama, penasihat kepada mantan Perdana Menteri Qatar, Syeikh Hamad Jassim Al Thani, Syeikh Ghanim Bin Saad Al Saad turut mengikuti giliran bertemu Anwar.

Ujar Anwar, Ghanim Bin Saad Al Saad & Sons Group (GSSG) yang diketuai Syeikh Ghanim Bin Saad Al Saad juga kini sedang meneroka peluang untuk pelaburan di Malaysia.

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button