Nasional

Penduduk gembira ibadah korban kembali meriah

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 10 Julai – Ibadah korban kembali meriah di masjid dan surau di negeri ini sejak negara memasuki fasa peralihan endemik.

Dua tahun lalu, ibadah kelima dalam Rukun Islam ini tidak semeriah tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Suara Merdeka di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, Klebang dan Masjid Lama Batang Tiga, ibadah korban berjalan lancar serta menyaksikan penduduk turun beramai-ramai bergotong-royong melapah daging korban.

Masjid Al-Aminin melaksanakan korban sebanyak 10 ekor lembu manakala Masjid Lama Batang Tiga pula sebanyak lapan ekor lembu.

Penduduk menyifatkan ibadah korban di Masjid Al-Aminin Batang Tiga, Klebang tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya selepas negara memasuki fasa peralihan endemik dengan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Mereka menyifatkan ibadah kali ini jauh berbeza berbanding dua tahun sebelum ini berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan kehadiran orang ramai tidak semeriah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batang Tiga Timur, Mustafa Mohamed Baboo berkata, suasana perkarangan masjid kembali meriah dengan penglibatan penduduk bergotong- royong melapah sebanyak sepuluh lembu korban.

Seorang petugas, Razali Bachik (kanan) mengagih-agihkan daging korban kepada penduduk di Masjid Al-Aminin Batang Tiga, Klebang, Melaka.

Menurutnya, tidak hanya kaum lelaki dan wanita hadir membantu sebaliknya golongan remaja tidak melepaskan peluang untuk turut sama membantu melapah daging korban untuk diagih-agihkan kepada
penduduk setempat.

“Seramai lebih 100 orang termasuk anggota polis dari Balai Polis Batang Tiga turut sama bergotong-royong melapah daging korban.

“Alhamdulillah ibadah kali ini amat bermakna kepada seluruh kariah di sini selepas hampir dua tahun suasana seperti hari ini tidak dapat dirasakan. Ramai datang bergotong-royong bagi memeriahkan ibadah tahun ini,” ujarnya ketika ditemui pada progam Korban Berkelompok di sini.

Penduduk bergotong-royong melapah daging korban di Masjid Lama Batang Tiga, Klebang, Melaka.

Bagi Pengerusi Penaja Korban Berkelompok Masjid Lama Batang Tiga, Azlan Osman berkata, ibadah tahun ini kembali meriah selepas kelonggaran SOP diberikan oleh kerajaan tidak seperti dua tahun lalu.

Menurutnya, tahun lalu hanya lima ekor lembu disembelih dan penyertaan penduduk setempat amat terhad sewaktu membantu melapah daging korban kerana mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Tahun ini kita dapat sebanyak lapan ekor lembu dan gotong-royong kali ini kembali meriah apabila ramai penduduk yang datang membantu.

“Alhamdulillah ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini jauh lebih meriah dan mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Abu Chek Baba, 57, seorang pesara kerajaan berkata, dia teruja melihat orang ramai bergotong-royong melapah daging korban dan suasana itu tidak sama seperti dua tahun lalu.

“Seronok rasanya dapat membantu melapah daging korban bersama-sama kariah lain dan suasana sungguh mengkagumkan tidak seperti dua tahun lalu,” ujarnya yang tinggal di Bukit Rambai.

Bagi Normah Mat Hanid, 65, pula berkata, sambutan ibadah korban tahun ini jauh lebih meriah dengan penglibatan ramai penduduk jauh berbeza jika hendak dibandingkan sepanjang dua tahun lalu.

“Dulu waktu korban lembu pun tidak banyak. Kita yang hendak menolong pula terpaksa dihadkan kerana mengikut SOP dan daging korban pula dihantar ke rumah,” ujarnya.

Bagi seorang pekerja perkapalan di Singapura, Ashwan Abu, 27, pula berkata, suasana ibadah tahun ini jauh lebih meriah dan seronok dapat berkumpul serta menolong melapah lembu korban.

Katanya, tahun lalu dia tidak dapat pulang ke Melaka sewaktu Hari Raya Aidiadha kerana lockdown dilaksanakan di Singapura.

“Bila Malaysia sudah masuk ke fasa endemik, saya dapat cuti dan awal pagi sudah datang ke masjid untuk membantu melapah daging korban sewaktu di Singapura suasana korban tidak sama seperti di sini,” ujarnya.

(Visited 592 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button