Nasional

Pendidikan Pengakap mampu lahir pemikiran luar kotak – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pendidikan yang terdapat dalam kurikulum Pergerakan Pengakap adalah secara menyeluruh sama ada di dalam kelas mahupun di luar bilik darjah. Latihan yang dijalani oleh ahli Pengakap juga adalah melampaui kotak pemikiran seseorang ahli Pengakap itu sendiri. Atas dasar inilah akan wujud ramai lagi individu yang akan lebih maju ke hadapan untuk membantu pergerakan sukarela seperti Pengakap ini.

Demikian titah baginda merangkap Presiden Diraja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan “Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat Dan Sijil Pengakap Raja Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022” di Hotel Putra Regency Kangar pada petang ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Dato’ Hj. Mohd Zin bin Bidin (B) dan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negeri Perlis, Azmi Abdullah

Tuanku Syed Faizuddin Putra amat berbangga kerana Ahli-ahli Pengakap Raja berjaya memperolehi sijil yang amat bermakna ini dan berharap mereka akan menjadikan pengalaman dan cabaran yang ditempuh sepanjang pembelajaran bagi membantu dalam kerjaya masing-masing, malah membantu dalam kehidupan di masa hadapan.

Tuanku Raja Muda turut mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis iaitu Majlis Pengakap Negeri dan Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis kerana dapat menggunakan peluang yang ada di musim pandemik ini bagi menyediakan majlis serupa ini yang sentiasa dinanti-nantikan dan sangat bermakna kepada semua pihak yang telah berjasa kepada pergerakan pengakap samada secara langsung atau tidak langsung.

Para penerima anugerah utama terdiri daripada Laksmana Maritim Dato’ Sri Haji Ahmad Puzi Haji Ab Kahar (B) – Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua – Perak, Hamidon Ahmad – Pingat Perkhidmatan Gemilang serta Bintang Perkhidmatan Gemilang Perlis – Leftenan Kolonel Prof Ts Dr Zaliman Sauli, Dato’ Seri Paduka DiRaja Adzhar Ahmad, Ho Thean Sung, Abu Bakar Abu Seman dan Muhammad Adzohmar Adzhar.

(Visited 935 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button