
Pendedahan Mek Yun Bongkar Penyalahgunaan Gambar: Menteri Agama Desak Siasatan Segera
PUTRAJAYA, 13 Jun 2025 — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab yang didakwa menyalahgunakan gambar kanak-kanak dan remaja untuk tujuan tidak bermoral di media sosial.
Kecaman itu susulan pendedahan oleh pempengaruh media sosial, Mek Yun, yang mendakwa gambarnya ketika masih bersekolah telah disebarkan dalam sebuah kumpulan Facebook yang dipercayai mempromosikan kandungan berunsur gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
“Lebih mengejutkan, terdapat pengakuan terbuka daripada seorang ahli kumpulan tersebut yang mendakwa telah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak. Ini adalah satu bentuk jenayah yang sangat keji dan menjijikkan,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Mohd Na’im menyeru agar pihak berkuasa segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu serta pentadbir kumpulan media sosial terbabit, dengan menyatakan bahawa tiada ruang kompromi bagi sebarang bentuk gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Beliau turut menekankan kepentingan memelihara adab dan bahasa ketika berinteraksi dengan kanak-kanak, sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian. Menurutnya, penggunaan kata-kata berunsur lucah dan seksual boleh memberi kesan psikologi jangka panjang kepada mangsa yang masih muda.
“Kanak-kanak termasuk dalam kategori lemah yang wajib dilindungi dan dihormati hak mereka, bukannya dieksploitasi atau menjadi mangsa kerakusan hawa nafsu yang hina,” katanya sambil memetik ayat al-Quran dan hadis berkaitan perlindungan terhadap golongan lemah.
Selain itu, beliau menasihati ibu bapa agar lebih peka dan memantau penggunaan media sosial anak-anak, serta mendidik mereka tentang keselamatan digital. Pada masa sama, pihak berwajib diminta memperkasa undang-undang dan sistem pemantauan jenayah seksual dalam talian.
“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan keselamatan anak-anak dan remaja sebagai amanah yang mesti dipertahankan,” kata beliau.