JenayahNasional

Polis rampas 102kg dadah, lapan termasuk warga asing ditahan

POLIS menumpaskan dua sindiket dadah selepas menahan enam lelaki dan dua wanita, termasuk seorang lelaki warga Singapura serta seorang wanita Vietnam; dan merampas 102kg dadah dianggarkan bernilai RM5.46 juta dalam empat serbuan di sekitar Lembah Klang, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sindiket pertama ditumpaskan dalam serbuan di dua rumah jenis berkembar di Damansara Perdana kira-kira pukul 2.45 dan 6.10 petang, yang melibatkan penahanan empat lelaki dan seorang wanita tempatan, termasuk dua warga asing, berumur antara 23-49 tahun.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis merampas kira-kira 89.5 kg dadah iaitu serbuk MDMA, ketamin, pil ekstasi dan erimin 5, selain pelbagai jenis bahan kimia disyaki untuk memproses dadah, yang disimpan dalam satu daripada dua rumah sewa yang berjiran itu.

“Semakan mendapati, kesemua penganggur berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian saringan air kencing menunjukkan lima daripada mereka positif ketamin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya sindiket kedua pula ditumpaskan dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam pada hari yang sama, susulan penahanan seorang lelaki tempatan, dan polis turut merampas 108 gram heroin dalam serbuan di sebuah hotel di Kajang itu.

Arjunaidi berkata soal siasat ke atas penganggur berumur 30 tahun itu membawa kepada serbuan ke atas sebuah apartment di USJ 19, Subang Jaya, di mana polis merampas 9.3 kg heroin, syabu (280 gram) dan kafein (2.7 kg), selain peralatan memproses dadah.

“Siasatan mendapati rumah itu disewa suspek untuk kegiatan memproses dadah. Pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk pistol jenis 45 ACP berserta dua kelopak peluru tidak berisi. Polis sedang menyiasat dari mana lelaki itu memperoleh senjata terbabit dan tujuannya.

“Semakan menunjukkan suspek mempunyai dua rekod jenayah dan dua rekod dadah selain ujian saringan air kencingnya pula positif amphetamine, methamphetamine dan morfin,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kedua-dua sindiket berkenaan aktif memproses dadah sejak enam bulan lepas secara kecil-kecilan.

Selain dadah, Arjunaidi berkata polis merampas tiga kereta pelbagai jenama milik beberapa suspek bernilai RM116,000 dan kesemua mereka direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. – BERNAMA

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button