fbpx
Mahkamah

Pendakwaan mahu buktikan Hasanah pecah amanah RM50.4 juta

Pihak pendakwaan mahu membuktikan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid telah melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) dengan sebahagiannya digunakan bagi pembelian enam utas jam tangan mewah sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh (Hasanah) yang juga Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, telah menerima sumbangan berjumlah US$12.1 juta dari pihak luar pada 30 April 2018.

“Keterangan akan dibawa untuk menunjukkan bagaimana tertuduh telah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan tersebut dengan mengarahkan pegawai-pegawainya untuk membuat pembelian enam utas jam tangan mewah.

“Pendakwaan juga akan menunjukkan tertuduh melakukan pembayaran kepada pihak ketiga dengan membawa keluar baki wang sumbangan tersebut dari pejabat Bahagian Penyelidikan tanpa menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia mahupun Bahagian Penyelidikan JPM,” katanya semasa membacakan ucapan pembukaan kes pada hari pertama perbicaraan hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Muhammad Iskandar berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang akan membuktikan Hasanah telah melakukan pecah amanah jenayah dengan harta tersebut.


“Pendakwaan akan menunjukkan bahawa wang sumbangan tersebut telah diberikan bagi tujuan khas namun telah tidak dilaksanakan oleh tertuduh sebagaimana tujuan khas tersebut sehingga menyebabkan kerugian US$12.1 juta terhadap kerajaan Malaysia,” katanya.

“Keterangan akan dibawa untuk menunjukkan bahawa tertuduh telah gagal untuk mematuhi segala peruntukkan undang-undang termasuk Arahan Perbendaharaan berkenaan dengan pengurusan penerimaan wang sumbangan tersebut dari pihak luar.

Tertuduh juga tidak pernah pada bila-bila masa menyerahkan wang sumbangan yang diterima tersebut kepada Kerajaan Malaysia mahupun Bahagian Penyelidikan, JPM, katanya.

Muhammad Iskandar berkata pihak pendakwaan juga akan bergantung kepada anggapan di bawah Seksyen 409B Kanun Keseksaan untuk membuktikan bahawa tertuduh mempunyai niat curang menyalahgunakan wang sumbangan tersebut.

“Bagi membuktikan kes terhadap tertuduh, pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung (direct evidence), keterangan ikut keadaan (circumstantial evidence) dan keterangan dokumen (documentary evidence) bagi menunjukkan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan oleh tertuduh pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang terkandung di dalam pertuduhan,” katanya.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.- Bernama

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button