Mahkamah

Pendakwa tarik balik tuduhan, Ahmad Maslan bebas

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pontian itu juga dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keputusan itu dibuat selepas pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad membayar kompaun RM1.1 juta.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Ahmad daripada semua pertuduhan.

Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq dalam kenyataan, berkata proses penyelesaian itu dibuat mengikut undang-undang melalui proses yang telus dan teratur.


“Untuk makluman semua, proses penyelesaian ini bukan satu proses baru. Malah, proses penyelesaian ini telah mengambil masa hampor setahun lebih sebelum ia diterima dan direkodkan di Mahkamah hari ini.

“Beberapa siri representasi juga telah dimasukkan ke Jabatan Peguam Negara sepertimana pengetahuan umum yang dilaporkan di dalam media.

“Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan, perbincangan, timbang tara antara pihak-pihak berkenaan dan hanya direkodkan di mahkamah selepas dimuktamadkan selepas pihak-pihak bersedia untuk memberikan komitmen masing-masing terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui,” katanya.

Pihak peguam turut menafikan penyelesaian tersebut bukan pengakuan bersalah Ahmad terhadap pertuduhan berkenaan.

“Berkenaan dengan penyelesaian ini, pembelaan perlu menegaskan beberapa perkara.

“Pertama, penyelesaian ini adalah bukan pengakuan bersalah Datuk Seri Ahmad Maslan terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

“Kedia proses penyelesaian ini telah dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus dan teratur.

“Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politiik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.-SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button