Nasional

Pendaki tertua mahu tawan puncak Everest buat kali keempat

KEJAYAAN menawan puncak tertinggi di dunia sebanyak tiga kali mendorong seorang pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, 74, akan kembali semula ke Nepal ingin menawan gunung Everest buat kali keempat Mei tahun depan.

Dia yang menetap di Ayer Keroh Heights berkata, faktor usia tidak sama sekali menghalang hasratnya selepas berjaya menawan puncak Everest dengan ketinggian 8,848 meter itu pada 2016, 2017 dan 2018.

Menurutnya, dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk menawan puncak Gunung Everest buat kali keempat.

Ujarnya, hasratnya untuk kembali semula ke Nepal menjadi kenyataan setelah mendapat bantuan penaja berjumlah RM200,000 yang akan digunakan sepanjang pendakian di gunung berkenaan.

Katanya, dia tidak gentar berdepan cabaran seperti cuaca sejuk dan ketinggian gunung berkenaan kerana sudah biasa dengan situasi tersebut sepanjang tiga kali kejayaannya menawan puncak tertinggi di dunia itu.

“Faktor usia bukan jadi penghalang kerana saya cukup yakin dengan keupayaan diri untuk melakukannya lagi pun saya telah membuat persiapan awal lagi pun saya pergi berseorangan tanpa rakan-rakan.

“Walaupun saya tahu risiko tinggi mendaki gunung ini kerana faktor cuaca yang sangat sejuk tapi saya tetap dengan hasrat untuk menawan puncak Everest buat kali keempat.

“Bulan Mei saya pilih kerana itu sahaja masa paling sesuai buat pendaki dari seluruh dunia yang berhajat untuk berada di puncak penuh salji,” ujarnya kepada pemberita semalam.

Lee adalah salah seorang daripada 55 peserta yang menghadiri Kursus Asas Malim Gunung Perhutanan (MGP) selama lima hari anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Ditanya mengenai persediaannya Lee berkata, selain faktor fizikal soal kesihatan adalah perkara paling utama diberikan tumpuan terutama dalam soal pemakanan.

“Saya ada satu prinsip untuk menjaga kesihatan dengan mengurangkan makan ‘lima putih’ iaitu beras, gula, tepung, susu atau krim dan garam. Ini adalah amalan yang saya buat pada tiga pendakian sebelum ini untuk mengekalkan stamina,” ujarnya yang juga seorang jurulatih pendakian gunung Kinabalu.

Sehubungan itu katanya, dia akan berada di Nepal dua bulan lebih awal bagi menjalani latihan fizikal dan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca serta beberapa faktor lain.

Sepanjang tempoh itu katanya, dia akan menjalani latihan pendakian pada ketinggian 1,524 meter dan 1,828 meter setiap hari. – SM

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button