Nasional

Pendaki diwajibkan guna Malim Gunung Perhutanan

SEMUA aktiviti pendakian dalam hutan simpan kekal berisiko di seluruh negara akan diwajibkan menggunakan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Indera Mohd. Ridza Awang berkata, aktiviti pendakian yang diwajibkan menggunakan MGP dikhususkan kepada bukit atau gunung yang berketinggian melebihi 457.2 meter.

Menurutnya, garis panduan yang telah disediakan sejak tahun lalu itu dengan pengunaan nisbah seorang malim kepada tujuh pendaki akan mula dikuatkuasakan mulai tahun depan dibuat atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, sebahagian daripada 211 kawasan pendakian yang sering menjadi tumpuan pendaki akan dikenal pasti oleh pengarah perhutanan negeri bagi pelaksanaan peraturan terbaharu itu.

“Jika ada seorang MGP yang terlatih bagi setiap kumpulan yang melakukan pendakian, kita dijangka dapat mengurangkan risiko berlaku sesuatu kemalangan.

“Jika sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku ada malim yang mengiringi mereka mampu bertindak berpandukan kepada situasi.

“Tahun ini sahaja lebih 400 kes melibatkan kemalangan yang berlaku ke atas pendaki melibatkan kawasan hutan simpan kekal perlu ditangani segera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas MGP Melaka di bawah program Reskill Upskill Latihan Ekopelancongan Sumber Asli di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Khairulnizam Hashim dan Pengarah Perhutanan Melaka, Khirun Nizam Abdul Rahim.

Mengulas lanjut Indera berkata, semua pengarah perhutanan negeri telah diarahkan untuk mengenal pasti hutan simpan kekal yang berisiko dan perlu menggunakan khidmat MGA.

Jelasnya, apabila kawasan berkenaan telah dikenal pasti barulah perkara tersebut akan dimaklumkan kepada seluruh pendaki dari segi penggunaan malim gunung di kawasan yang telah ditentukan nanti.

“Kita cadang ia akan dikuatkuasakan tahun depan namun ia perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri,” ujarnya.

Bagi Melaka pula katanya, dua lokasi dikenal pasti iaitu Gunung Melaka di Asahan dan Bukit Batu Lebah di Jasin akan mula dikuatkuasakan penggunaan MGP selepas mendapat nasihat dan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Untuk rekod seramai 761 orang telah menjalani kursus MGP sejak awal tahun ini iaitu 120 orang di Johor, Terengganu (120), Pahang (110), Kedah (60), Perak (179), Negeri Sembilan (117) dan Melaka (55) – SM

 

(Visited 439 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button