Sukan

Piala Tun Ali 2022: Johor sekat hajat Melaka muncul juara edisi pertama

Johor menafikan kelebihan Melaka selaku tuan rumah apabila muncul juara edisi pertama kategori regu di Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini hari ini.

Kemenangan mudah buat Johor menewaskan Melaka 21-17, 21-18 dalam perlawanan akhir membolehkan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta Piala Pusingan selaku juara manakala tuan rumah pula menerima RM5,000 selaku naib juara.

Lebih manis buat pasukan yang dilatih bekas tekong kebangsaan, Ahmad Jais Baharun apabila dua pemain mereka iaitu Muhd. Haziq Hairul Nizam dinobatkan tekong terbaik dan Muhd. Noraizat Mohd. Nordin pula apit kanan terbaik yang masing-masing menerima RM500.

Namun kelegaan buat Melaka pemain kebangsaan, Mohd. Muqlis Borhan menerima anugerah apit kiri terbaik.

Muhd. Haziq Hairul Nizam dinobatkan tekong terbaik.

Dua pasukan yang tewas di separuh akhir iaitu Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing menerima RM3,000 untuk berkongsi kedudukan di tempat ketiga.

Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang turut dihadiri Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd. Sumali Reduan.

Mohd. Muqlis Borhan apit kiri terbaik dari Melaka.

Ahmad Jais berkata, kejayaan muncul juara memang tidak diduga kerana kelebihan Melaka membariskan tiga pemain kebangsaan selain bermain di tempat sendiri.

“Kemenangan juara edisi pertama ini menyemarakkan pemain saya untuk menghadapi Kejohanan Piala Emas Khir Johari pada November ini dan Liga Sepak Takraw (STL) Januari tahun hadapan,” ujarnya.

Sementara itu jurulatih Melaka, Khairul Anuar Ibrahim berkata, kekalahan mudah pasukannya apabila apit kiri kebangsaan, Mohd. Muqlis Borhan mengalami kecederaan paha kanan begitu juga killer, Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar.

Katanya, faktor kepenatan apabila pasukannya bermain hingga set penentuan berdepan ATM di suku akhir dan Pulau Pinang di separuh akhir.

“Ini bukan menjadi alasan tetapi saya terima kekalahan ini dengan hati terbuka kerana pemain telah mengerah seluruh tenaga,” ujarnya.

Bagi kategori beregu pula, Perak menerusi gandingan Muhammad Asyraaf Abdul Hadi-Kittiphum Sareebut dinobatkan selaku juara selepas menyekat hajat Melaka menerusi kemenangan 2-1 untuk menerima hadiah wang tunai RM8,000 serta piala pusingan.

Gandingan Theeranan Seesawang-Muhammad Faizulhairy Osman buat Melaka menang di set pertama 21-17 namun tunduk 13-21 dan 13-21 di set penentuan pulang sebagai naib juara menerima hadiah wang tunai RM4,000. – SM

(Visited 487 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button