Nasional

Pencemaran Sungai Kundang: Polis serbu kilang proses minyak sawit

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah kilang memproses minyak sawit di kawasan perindustrian Kundang Jaya, Kundang susulan laporan berhubung pencemaran air di Sungai Kundang, Rawang pada 23 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, serbuan dilakukan semalam kira-kira pukul 3 petang.

“Dalam serbuan tersebut, kita telah menahan 11 individu iaitu pengurus kilang, lelaki berusia 66 tahun, dua lelaki warga tempatan berusia 36 dan 46 tahun serta 8 orang pekerja kilang warga Myanmar berusia 27 hingga 39 tahun.

“Kita juga telah merampas beberapa dokumen dan peralatan yang disyaki digunakan hingga menyebabkan pencemaran air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fadzil, kesemua tangkapan telah direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Sebelum ini, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuat laporan setelah mendapati berlaku pencemaran air di Sungai Kundang dan dipercayai berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (ukuran kadar bau) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, siasatan lanjut LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke sebuah premis yang disyaki itu mendapati bau sama sehingga 10 ton dikesan di pelepasan akhir premis berkenaan. -SM

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button