fbpx
Politik

Pencemaran air: PH selalu salahkan orang lain – Najib

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mengambil sebarang tindakan selepas kerajaan negeri selesai menyiasat kes pencemaran air pada April

Najib berkata, dakwaan Amirudin terhadap Jabatan Peguam Negara seolah-olah mahu menyalahkan pihak lain.

“Selalu salahkan orang lain. Tak pernah salah sendiri,” kata Najib.

Sebelum itu Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun menafikan dakwaan Amirudin Shari yang disiarkan sebuah portal berita bahawa tiada tindakan diambil Jabatan Peguam Negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April lepas.

Idrus berkata, Jabatan Peguam Negara hanya dimaklumkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh agensi yang berkaitan dan kertas siasatan itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.


Beliau berkata, pada 17 Mac, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bahawa 4 loji rawatan air di Sungai Selangor dihenti tugas bermula 17 Mac, jam 7.00 malam, akibat pencemaran bau dalam air mentah pada tahap 2 TON.

“Lanjutan itu, siasatan bersepadu bersama oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan Exco Alam Sekitar Selangor dijalankan berikutan aduan yang menyebabkan penutupan loji tersebut.

“Pihak JAS Selangor mengeluarkan 30 tawaran kompaun di lapangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM60,000.00 kepada pemilik premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd di Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kg Sungai Dua, Rawang.

“Kompaun itu dikeluarkan tanpa apa-apa rujukan kertas siasatan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam laporan FMT, Amirudin mendedahkan tiada tindakan diambil peguam negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April.

Beliau memaklumkan hal itu kepada pemberita ketika menjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad berbanding kerajaan persekutuan dalam hal menghukum pencemar air.

Amirudin ditanya pemberita tentang penambahan hukuman sebat dan lucut hak ke atas pesalah pencemaran air.

Katanya, bidang kuasa Selangor hanya terhad kepada apa yang terkandung dalam Enakmen Lembaga Urus Air Selangor sahaja, oleh itu ia tiada kuasa untuk memenjarakan atau menyebat pesalah.

“Akta Alam Sekitar mempunyai bidang kuasa lebih luas. Contohnya, kita susah habis lakukan siasatan ketika pencemaran pada April tetapi tindakan tidak diambil peguam negara. Kuasa pendakwaan juga bukan bawah kita.”

Amirudin menegaskan beliau bukannya mahu menuding jari sebaliknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Putrajaya.-SM

 

(Visited 3 times, 2 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button