Nasional

Moratorium diteruskan, i-Sinar ditambah baik

BERIKUTAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0 sejak 13 Januari lalu, beberapa bantuan diberikan kepada rakyat Malaysia terkesan akibat penguatkuasaan tersebut.

Antaranya adalah pemberian moratorium bersasar dan penambahbaikan program i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi permohonan Kategori 2.

Ini termasuklah mempercepatkan pembayaran pendahuluan i-Sinar sehingga RM1,000 bermula 26 Januari ini.

“Bagi menambah baik i-Sinar terutama bagi mereka menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP2.0 serta bencana banjir, kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi kemudahan permohonan i-Sinar Kategori 2.

“Proses pembayaran i-Sinar Kateogri 2 juga akan dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka ada kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.

“Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini yang akan dibuat mulai 26 Januari dan maklumat lanjut akan diumumkan KWSP dalam masa terdekat.”

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan pakej bantuan khas Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), hari ini.

Beliau berkata, sejak program tersebut dibuka pada 21 Disember lepas, lebih tiga juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah RM24 bilion akan disalurkan pada tahun ini.

Dalam pakej tersebut, beliau turut memaklumkan moratorium bersasar turut diperluaskan kepada individu terkesan termasuklah mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

“Semasa tempoh pelaksnana PKP ini saya ingin menekankan bahawa bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan.

“Moratorium termasuk lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank seperti yang diumumkan sebelum ini,” jelasnya.

Tambah beliau, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan bayaran dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99.5 peratus bagi peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti bayaran.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP semula sehingga 26 Januari ini susulan kes baharu jangkitan Koronavirus (Covid-19) meningkat mendadak.

Penguatkuasaan itu juga berikutan sistem perkhdimatan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dikatakan berada pada tahap maksimum. – SM

(Visited 1,084 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button