Jenayah

Pencarian 2 lagi mangsa hilang bot dibadai ribut diteruskan

Radius diperluas 450 batu nautika persegi

DOA daripada keluarga dan sahabat handai tentunya tidak putus-putus dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar pencarian dua lagi mangsa tragedi bot dibadai ribut yang membawa 20 pemancing terbalik enam hari lalu di perairan Bachok, Kelantan, segera ditemui.

Perkembangan hari ini berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang.

Radius pencarian dua lagi mangsa yang hilang dalam tragedi yang berlaku di 10 Batu Nautika dekat Pengkalan Kuala Kemasin diperluaskan kepada 450 batu nautika persegi dari tempat kejadian.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, dalam operasi SAR semalam, pasukan pencarian masih gagal mendapat petunjuk lokasi kedua-dua mangsa iaitu Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40-an.

“Hari ini operasi SAR telah disambung semula pada 7 pagi tadi melibatkan 81 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi.

“Kita menggunakan kaedah pencarian berpandukan sistem SAROPS (sistem pencarian dan penyelamat optimal).

“Arus pencarian operasi ini juga masih dikekalkan iaitu menghala ke arah Pulau Perhentian dan sektor yang dirasakan logik dengan menggunakan 15 aset daripada semua agensi SAR terbabit.

“Malah sehingga kini pasukan pencarian serta para nelayan dan pemancing yang turut membantu masih gagal mendapat petunjuk lokasi kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Setakat ini, dalam tragedi bot terbalik berhampiran perairan Kuala Kemasin pada Isnin lalu, enam mangsa yang meninggal dunia telah ditemukan.

Mangsa-mangsa itu ialah Mohd. Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an, Ahmad Syafiq Che Alim, 30 dan Harun Daud, 57. – SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button