Nasional

20 ahli keluarga wanita hamil disahkan negatif, 10 tunggu keputusan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan saringan terhadap 30 ahli keluarga wanita hamil yang disahkan positif COVID-19 selepas melakukan perjalanan rentas negeri ke Kelantan baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut pihaknya  mendapati 20 ahli keluarga yang melalui saringan dikesan negatif manakala 10 lagi masih menunggu keputusannya.

“Dari segi kontak rapat pula, kami akan lihat sama ada di tempat destinasi itu atau tempat asal di Ampang dengan menjalankan saringan, ” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Semalam, KKM mengesahkan bahawa wanita hamil 35 minggu disahkan positif COVID-19 selepas melakukan rutin pemeriksaan di klinik kesihatan ibu dan anak di Kuala Krai, Kelantan.

Sementara itu ditanya mengapa Malaysia tidak diberi harga subsidi untuk ubat antiviral Remdesivir, beliau berkata Malaysia adalah negara membangun yang tidak termasuk dalam voluntary license (lesen terkawal) ubat-ubatan.

Dr Noor Hisham berkata dengan situasi COVID-19, pada masa ini Malaysia dapat mengakses Remdesivir di bawah ujian klinikal solidariti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kami telah mula merekrut 12 pesakit di bawah percubaan Remdesivir, setakat ini 93 pesakit telah mendaftar di bawah kajian percubaan solidariti dan 12 daripada mereka telah diberi Remdesivir. Persoalannya ialah sama ada ubat ini berkesan mungkin kita harus mencari cara lain untuk mengakses ubat ini, bukan lesen terkawal tetapi cara lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham mengumumkan nama pemenang bagi pertandingan kad Hari Raya untuk pelajar sekolah anjuran KKM sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Pertandingan bertemakan Sihat di Hari Lebaran itu berlangsung 2 Mei hingga 18 Mei lepas menerima sebanyak 270 penyertaan.

Pemenang tempat pertama iaitu Uzma Arissya Umar (12 tahun) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Indah Pura 1, Kulai, Johor.

Tempat kedua dimenangi oleh Amni Fatiha Mohd Hazri (sembilan tahun) dari SK Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan sementara tempat ketiga dimenangi Muhammad Arif Khairuddin (12 tahun)  dari SK Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah.

Pemenang tempat pertama sehingga ketiga menerima wang tunai RM100 sementara 17 pemenang sagu hati menerima hamper.

Para peserta perlu memuatkan mesej kesihatan dalam kad raya masing-masing. – BERNAMA

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button