BeritaNasionalPendidikan

Dong Zong lebih ‘besar’ daripada Kabinet?

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dilaporkan enggan bertolak ansur terhadap pengajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Kabinet pada Ogos lalu mengekalkan keputusan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun empat di SRJC bermula tahun depan.

Pun begitu, ia perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta penjaga.

Walaupun itu keputusan Kabinet, usaha menghalang pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular terus dilakukan apabila parti Gerakan yang senada dengan suara Dong Zong dan Jiao Zong  telah membawa isu ini ke mahkamah.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mendengar kes itu kemudian menolak permohonan tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya berkata, Jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Menurut beliau, pelaksanaan kelas Jawi tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh kuasa tertinggi kerajaan dan perundangan negara, tidak sedikit pun menyedarkan kumpulan-kumpulan tersebut.

Mereka seolah-olah ingin mengatakan keputusan yang dibuat ‘tidak terpakai’ dan hanya mengiktiraf ‘undang-undang’ mengikut cara sendiri.

Bagi tujuan bantahan itu, satu persidangan dijadual akan berlangsung pada 28 Disember ini.

Pertubuhan itu turut menggesa lembaga pengelola dan PIBG di SRJKC untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan.

Malah mereka diminta mengumpulkan tandatangan dan tanda cap lembaga pengelola dan PIBG sekolah sebagai tanda bantahan.

Dalam masa sama, pertubuhan itu mahu Kementerian Pendidikan menarik balik garis panduan yang dikeluarkan.

Sebelum ini, beberapa tindakan termasuk mengadakan sidang akhbar dan menghantar memorandum kepada pihak Kementerian Pendidikan telah dilakukan persatuan terbabit.

Persoalannya, siapa yang sebenarnya  bertanggungjawab menentukan perjalanan sistem pendidikan di negara ini? Dong Zong dan Jiao Zong atau Kabinet dan pihak kementerian?

Sekiranya persatuan tersebut ‘berkuasa’, tidak perlulah kerajaan bersusah payah melakukan kajian dan membentangkan hasil kajian mereka.

Tetapi jika kerajaan mahu memastikan perjalanan SKJC seiring dengan sistem pendidikan di negara ini, menteri terbabit harus tegas mempertahankan keputusan yang dibuat.

Dalam hal ini, majoriti rakyat masih tidak faham dengan sikap ‘anti-Jawi’ Dong Zong dan Jiao Zong. Hakikatnya, pengajaran tulisan Jawi yang akan dilaksanakan hanya bersifat pengenalan.

Tiada alasan munasabah mengapa pertubuhan itu terlalu takutkan ‘Jawi’ sekiranya mereka adalah sebenar-benarnya rakyat Malaysia.

Ini kerana pada era sebelum merdeka dan pasca merdeka, tulisan Jawi turut digunakan secara meluas oleh pelbagai kaum di negara ini.

Sekiranya difahami secara dasar, proses asimilasi ini memberi satu semangat kesamarataan dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Lainlah jika Dong Zong dan Jiao Zong serta kumpulan senada dengan mereka mempunyai agenda lain yang membelakangi sejarah negara! – SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button