Agama

Jamuan raya MAIPs meriah dengan juadah dihasilkan asnaf

‘Majlis Raikan Syawal MAIPs 1443H/2022M’ yang dihoskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengetengahkan pelbagai produk-produk yang dihasilkan oleh warga asnaf di Negeri Perlis. Antaranya adalah ‘Karipap Keju King’, ‘Lemang Warna-Warni’, ‘Kebab Palestin-Perlis’, ais kacang, apom balik, ketupat palas, ais krim, satay, kambing golek, serta aneka jenis air termasuk jus ‘Rock Melon Taman Desa Asnaf MAIPs’ dan juga ‘Air Sarbat Perlis’

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis berkenaan yang diadakan di perkarangan Pejabat MAIPs II, Taman Pengkalan Asam Kangar pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda berdua yang diiringi anakanda-anakanda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Hj Mohd Nazim Mohd Noor beserta Ahli-ahli Majlis MAIPs, Jawatankuasa Kewangan MAIPs dan juga para pekhidmat Majlis.

Di majlis tersebut Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan simbolik sambutan berupa menyajikan ‘Balang Air Serbat Perlis’ dan ‘Lemang Warna-Warni’ dari Kg Seberang Ramai Kuala Perlis.

Turut diadakan ialah sesi perkongsian oleh bekas-bekas pelajar yang berjaya mendapat pekerjaan dengan gaji melebihi RM3,000 di bawah program bantuan melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), sesi perkongsian wakil komuniti
Kampung Nelayan Warna-Warni Program Transformasi Di Raja Seberang Ramai Kuala Perlis oleh Kamarudin Malek yang juga merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis selain penyampaian Sijil Penghargaan kepada Penyelaras-penyelaras program yang diinisiatifkan oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis tersebut. Turut dilaksanakan adalah Penyampaian Surat Pelanjutan Pematuhan SAGA dan sumbangan Hari Raya kepada penghuni Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Baitul Hanan Bohor Mali.

Dalam pada itu Mohd Nazim dalam ucapan alu-aluan beliau memaklumkan bahawa pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Pengurusan MAIPs, dalam misi mencapai sasaran sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Strategik MAIPs 2021-2025 serta Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0.

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button