Politik

Pemuda UMNO junjung titah Agong tidak seret negara ke kancah politik

PERGERAKAN Pemuda UMNO menjunjung sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak sekali lagi mengheret negara ke kancah suasana politik yang tidak menentu.

Menurut Asyraf Wajdi, titah Al-Sultan Abdullah merupakan satu nasihat yang amat bermakna dan sewajarnya diambil iktibar dan pedoman.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjunjung kasih dan mendokong penuh Titah dan saranan Tuanku.

“Fokus ketika ini seharusnya ditumpukan kepada agenda membantu rakyat yang sedang mendepani pandemik Covid-19 dan dampak negatif daripadanya yang memberi kesan langsung terhadap kedudukan ekonomi negara dan kebajikan rakyat yang ketika ini dihimpit rasa susah dan gelisah,” kata Asyraf Wajdi.

YANG di-Pertuan Agong dalam satu kenyataan hari ini menitahkan agar ahli politik khususnya dan rakyat untuk bermuhasabah ketika negara berdepan dengan ancaman wabah Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan, agar ahli politik sekali lagi tidak mengheret negara ke kancah suasana politik yang tidak menentu.

Baginda turut mengulangi titah nasihat kepada Ahli-ahli Parlimen, semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu.

Al-Sultan Abdullah mahu ahli politik mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Iklim politik negara tidak stabil sejak peralihan kuasa dari Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional pada Mac lalu.

Keadaan kembali hangat apabila Ketua Pembangkang di Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk mengambil alih kuasa daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Bagaimanapun ketika menghadap Yang di-Pertua Agong, Presiden PKR itu hanya memberi angka bilangan jumlah sokongan yang diperolehi tanpa menampilkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokong beliau.-SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button