Nasional

Pemuda UMNO harap KWSP masukkan kumpulan terjejas pendapatan

PERGERAKAN Pemuda UMNO mengharapkan ihsan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk melonggarkan syarat pengeluaran Akaun 1 KWSP melalui skim i-Sinar.

Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai syarat yang dikenakan oleh KWSP untuk pengeluaran Akaun 1.

Menurut Asyraf Wajdi, pihaknya  telah meneliti syarat yang dikenakan oleh KWSP dan mendapati peraturan pengeluaran yang dikenakan sememangnya ketat.

Jelas Asyraf Wajdi, ketika ini ramai yang terjejas teruk punca pendapatan dan mereka mahu dimasukan dalam kategori yang boleh membuat pengeluaran skim i-Sinar.

“Ramai yang menjadi pencarum selama puluhan tahun tetapi sudah tidak mencarum dalam tempoh Mac 2019 hingga Februari 2020 sebagaimana yang disyaratkan.

“Namun, hakikatnya mereka tetap berdepan dengan isu kelangsungan hidup akibat terjejas teruk sumber pendapatan lantaran kerugian perniagaan disebabkan pandemik,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut beliau, kumpulan terbabit yang terjejas pendapatan berharap dapat mengeluarkan wang simpanan daripada KWSP secara sekaligus untuk menyelesaikan banyak perbelanjaan dan komitmen yang tertunggak.

“Sebab itulah Pemuda UMNO mengharapkan ihsan pihak KWSP untuk memperlonggarkan syarat agar mengambil kira juga rakyat yang ketika ini benar-benar sengsara akibat kekangan punca pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kata Asyraf Wajdi.

Semalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan perluasan skop i-Sinar merangkumi pencarum yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Inisiatif i-Sinar akan memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion tersedia untuk ahli layak.

Ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, namun tertakluk kepada baki minimum RM100.

Katanya, ahli mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah di dalam Akaun 1, akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam Akaun 1 pula layak membuat pengeluaran maksimum RM60,000 dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.-SM

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button