Politik

Pemuda UMNO gesa tubuh RCI Tabung Haji siasat dakwaan PH

PERGERAKAN Pemuda UMNO menggesa agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).

Menurut ketua pergerakan itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, walaupun PN tidak pernah berjanji untuk menubuhkan RCI mengenai TH, namun rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah haji atas justifikasi konsep istitoah oleh bekas menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH,” kata Asyraf Wajdi.

RCI Tabung Haji itu juga boleh menyiasat mengenai pendedahan surat TH oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menunjukkan menteri telah meluluskan hak perlucutan pertama terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke UJSB.

Menurut bekas timbalan menteri (hal ehwal agama) itu, sebelum PH memerintah, TH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhannya yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

Asyraf Wajdi berkata, kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus setelah ditolak zakat 2.5 pertaus.

“Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta agar Kerajaan PN dapat segera menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara!” tegas Asyraf Wajdi.-SM

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button