NegeriRencah Hidup

Kenapa biarkan pokok keriang, buah anggur Malaya pupus?

BUAH keriang atau disebut juga sebagai anggur Malaya mungkin kedengaran agak pelik dalam kalangan anak-anak kota namun anggur Malaya ini sebenarnya penuh nostalgia dalam kalangan kanak-kanak yang pernah membesar di kampung dan kawasan-kawasan sawah.

GUGUSAN buah keriang atau anggur Malaya yang manis rasanya apabila masak ranum.

Anggur Malaya buahnya yang bersaiz kecil serta berwarna hitam berkilat ini sedap dimakan kerana rasanya manis. Bagaimananapun jika dimakan dalam kuantiti yang banyak, warna lidah akan berubah menjadi ungu kehitam-hitaman.

Pokok anggur Malaya atau keriang biasanya tumbuh atau ditanam di tepi sawah. Untuk makluman, pokok keriang ini mempunyai pelbagai nama mengikut tempat masing-masing. Justeri ada yang menamakan pokok ini sebagai keriang kecil.

Ada juga yang menamakannya sebagai keriang lada kerana saiznya yang hampir sebesar lada dan ada yang menamakannya sebagai keriang burung disebabkan buahnya menjadi kegemaran burung.

Bagi kalangan kanak-kanak yang tinggal berhampiran sawah, inilah antara pokok yang popular sebagai tempat “melepak” di atas dahannya sambil menikmati buah keriang.

Jika pokok ini dipanjat, mudah mencapai dahan yang dipenuhi dengan tangkai buah-buah keriang yang masak ranum.

Untuk menurunkan buah keriang daripada dahan, ada juga cara lain iaitu dengan menggunakan galah buluh atau merentangkan kain besar bagi menadah buah-buah sebelum digugurkan dengan cara mengoncang dahan yang dipenuhi dengan buah-buah yang masak.

Penulis juga baru-baru ini secara kebetulan menemui pokok keriang yang hampir pupus di tepi sawah di Kampung Belat Batu, Arau, Perlis.

Jawahir Jaafar menunjukkan buah keriang dari pokok yang ditanam arwah ayahnya di Kampung Belat Batu, Arau, Perlis.

Mengikut Jawahir Jaafar, 65, pokok keriang yang berada berdekatan rumahnya itu telah ditanam oleh arwah ayahnya lebih kurang 40 tahun lalu.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan pokok keriang ditanam di tepi sawah untuk kemudahan berteduh atau berehat selepas mengerjakan bendang.

Pokok keriang juga boleh ditanam dalam pasu.

“Pada zaman dahulu, buah keriang memang menjadi kegemaran kanak-kanak. Bagaimanapun, sekarang ini, buah keriang sudah tidak diminati lagi oleh generasi muda dan ia menjadi makanan burung,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli grup berkebun dalam laman sosial Facebook (FB), Farhan Hakimi menulis dalam komennya, beliau menanam pokok keriang didalam pasu.

Katanya, setakat ini, percubaannya itu berjaya kerana pokok keriang yang ditanamnya telah mengeluarkan buah.

Ini membuktikan pokok keriang boleh diselamatkan dari terus pupus jika ada individu atau pihak yang berusaha untuk menanamnya agar generasi akan datang kenali pokok dan buah keriang atau anggur Malaya. – SM

(Visited 1,446 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button