Nasional

Asasi UiTM pupuk ketrampilan dan kepimpinan pelajar melalui penganjuran kejohanan bola tampar

SELAMA dua (2) tahun kampus menyepi tanpa sebarang aktiviti bersemuka, suasana kampus di Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil kini kembali dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pelajar.

Kelab Bola Tampar The Hitters dengan kerjasama Unit Sukan Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Asasi Inter-Programme Volleyball Tournament bagi mencungkil bakat para pelajar dalam arena sukan bola tampar yang kini semakin diminati ramai.

Pertandingan yang melibatkan keempat-empat program pengajian di Asasi UiTM iaitu Asasi Sains, Asasi Kejuruteraan, Asasi TESL dan Asasi Undang-undang ini berjaya memupuk semangat kesukanan di kalangan para pelajar dan menggalakkan persaingan sihat antara mereka. Pertandingan ini juga telah berjaya memupuk ketrampilan pelajar khususnya kepada ahli kelab The Hitters yang terlibat dalam perancangan dan persiapan penganjuran pertandingan.

Ternyata pengalaman yang dikutip sepanjang pelajar mengendalikan program sebegini lebih bermanfaat dan praktikal untuk mereka merasai sendiri kepayahan dan ketelitian yang diperlukan dalam menganjurkan sesuatu pertandingan sukan.

Sebanyak dua (2) kategori telah dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan wanita. Pertandingan dimeriahkan lagi dengan pasukan jemputan yang terdiri di kalangan staf akademik dan pentadbiran. Ini juga merupakan satu inisiatif pihak penganjur bagi memupuk silaturrahim di kalangan pelajar dan staf dan seterusnya membina satu ekosistem yang baik dalam persekitaran kampus.

Asasi Inter-Programme Volleyball Tournament ini telah dimenangi oleh pasukan Asasi Kejuruteraan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Hadiah telah disampaikan oleh Yang Berusaha En. Zaidi Yaacob, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar & ICAN.

Mengenai Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil

Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil ditubuhkan pada November 2009 dengan objektif untuk menyediakan asas yang kukuh bagi pelajar untuk meneruskan program ijazah di UiTM dan institusi pengajian tinggi lain di dalam dan luar negara.

Pusat ini berusaha untuk memastikan kualiti pendidikan yang tinggi melalui penilaian tahunan yang berterusan oleh universiti seperti yang ditunjukkan menerusi tahap kepuasan pelajar dalam pemilihan pendidikan pra-universiti.

Pada masa ini, Pusat Asasi UiTM menawarkan sejumlah 46 kursus menerusi lima (5) Program: Asasi Sains (PI080), Asasi Kejuruteraan (PI009), Asasi Undang-Undang [dibahagikan kepada PI005 (UiTM) dan PI007 (KPT)], dan Asasi TESL (pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua – PI020).

Semua ini adalah program persediaan sepenuh masa khusus untuk Ijazah Sarjana Muda Sains, Kejuruteraan, Undang-Undang dan TESL. Tempoh setiap program adalah dua semester, dengan jumlah sebanyak 50 jam kredit. Hal ini bagi membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan, nilai, kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk pendidikan tinggi mereka.

Pusat Asasi UiTM ini juga memberi penekanan kepada kepentingan untuk sentiasa mengikuti perkembangan isu tempatan dan global yang sedia ada, peningkatan bahasa dan pencapaian kemahiran komputer yang meluas, pemikiran secara kritikal dan kemahiran-kemahiran kreatif lainnya. Selain aktiviti akademik, pelajar juga terlibat dalam pelbagai kelab yang bertujuan untuk melahirkan individu yang holistik.

Untuk kekal relevan, Pusat Asasi UiTM sentiasa mengemaskini silibus secara berterusan berdasarkan keperluan semasa negara serta menganjurkan pertandingan dan persidangan inovasi untuk menggalakkan perkongsian idea baru dan penemuan terkini dalam penyelidikan.

Pada masa ini, pusat ini mempunyai komuniti yang kukuh iaitu 188 pensyarah dan 4010 pelajar. Sejajar dengan harapan untuk meningkatkan pengambilan pelajar di masa hadapan, pusat ini akan terus berkembang sebagai pusat pilihan pra-universiti yang unggul di negara ini.

 

(Visited 491 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button