Nasional

Ucapan penuh Perutusan Khas Perdana Menteri

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat dan sentiasa dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

1. Sejak beberapa minggu yang lalu, kes-kes harian COVID-19 di negara kita telah meningkat dengan mendadak sehingga mencecah lebih 5,000 kes sehari. Ini adalah satu perkembangan yang amat membimbangkan kita semua. Kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan virus ini. Kita tidak boleh menyerah kalah.

2. Untuk itu, bermula 13 Januari yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah. Pada 22 Januari, PKP ini diperluaskan ke enam buah negeri yang lain, iaitu Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu.

3. Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP kali ini, Kerajaan telah melaksanakan larangan rentas negeri dan daerah kecuali untuk tujuan bekerja, rawatan perubatan serta pergerakan barangan dan perkhidmatan
bagi sektor-sektor ekonomi perlu. SOP yang lebih ketat juga telah dikuatkuasakan termasuk melarang dine-in di restoran, menghalang hampir semua aktiviti sukan dan sosial serta menutup operasi perniagaan
tertentu.

4. Pelaksanaan PKP ini telah menghasilkan kesan yang positif di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang mula menunjukkan trend jumlah kes harian baharu yang semakin
melandai. Namun begitu, peningkatan kes masih berlaku terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Ini adalah negeri-negeri yang berkepadatan tinggi di samping mempunyai kegiatan ekonomi dan industri
yang rancak.

5. Kerajaan sedar bahawa antara kaedah yang paling berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ialah dengan melaksanakan total lockdown, atau penutupan hampir sepenuhnya sektor-sektor ekonomi. Ini tentunya akan membolehkan rakyat duduk di rumah atau just stay at home seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini. InsyaAllah, jika ini kita lakukan, dalam tempoh beberapa minggu kita akan dapat melandaikan semula lekuk jangkitan COVID-19 di negara kita.

6. Tetapi kita juga tahu bahawa pelaksanaan total lockdown akan memberikan kesan yang amat negatif terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Banyak kilang terpaksa ditutup, perniagaan gulung tikar,
perusahaan lumpuh, dan rakyat akan hilang pekerjaan serta mata pencarian. Kehidupan rakyat pastinya akan terjejas dengan teruk. Ini adalah satu keadaan yang kita mesti sama-sama elakkan.

7. Pada masa yang sama, sekiranya pergerakan rakyat tidak dikawal, kita tidak akan dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Kes-kes akan terus meningkat, hospital-hospital di negara kita tidak dapat menampung kes-kes baharu yang semakin bertambah dengan mendadak, sistem kesihatan awam kita akan lumpuh, dan nyawa rakyat akan terancam. Ini juga satu keadaan yang mesti kita elakkan.

8. Jadi, dalam situasi pandemik pada masa ini, Kerajaan perlu mencari satu keadah yang berimbang, iaitu memastikan kehidupan ekonomi rakyat terus terjamin dan nyawa rakyat terus dilindungi. Kaedah yang terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi perlu atau essential economic sectors untuk terus beroperasi dan pada masa yang sama melaksanakan SOP yang ketat untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang sudah pun berada di tempat kerja, di kawasan kediaman dan di dalam komuniti kita.

9. Saya tahu bahawa ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Bagaimana kita hendak memastikan saudara dan saudari yang keluar bekerja atau keluar untuk membeli barangan keperluan harian tidak
terkena jangkitan COVID-19.

10. Pastinya ini memerlukan kerjasama semua pihak. Majikan misalnya, telah ada arahan supaya hanya 30 peratus pekerja dalam kategori pengurusan yang boleh hadir ke pejabat atau premis perniagaan, manakala yang lainnya mesti bekerja dari rumah atau work from home. Apabila arahan ini dipatuhi, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pekerja dalam kategori ini tidak berada di pejabat atau di premis-premis perniagaan. Mereka dikehendaki stay at home.

11. Ini bermakna walaupun Kerajaan tidak melaksanakan lock down, pergerakan orang ramai dalam pengangkutan awam, di jalan raya dan di premis-premis pejabat dan perniagaan dapat dikurangkan dan pada masa yang sama ekonomi dan industri dapat terus beroperasi.

12. Begitu juga jika ada dalam kalangan pekerja yang didapati positif COVID-19, mereka ini mesti segera diasingkan dan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapat rawatan atau menjalani
kuarantin di tempat tinggal. Pengesanan kontak rapat dalam kalangan pekerja juga mesti dilakukan segera. Mereka ini perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin di rumah atau di tempat penginapan
pekerja.

13. Majikan jangan paksa pekerja yang sedang menjalani kuarantin untuk datang bekerja kerana ini akan membahayakan semua orang. Jangkitan kepada orang lain boleh berlaku sekiranya mereka juga didapati
positif COVID-19. Pokoknya, kita mesti jaga kita. Apabila kita jaga sesama kita, kita jaga semua orang.

14. Saya memberi penekanan kepada aspek pematuhan SOP di kilangkilang, di tapak-tapak pembinaan, di tempat penginapan pekerja dan di tempat kerja. Ini kerana jangkitan COVID-19 dalam gelombang ketiga ini
banyak berlaku di tempat-tempat ini. Data terkini menunjukkan 59% jangkitan COVID-19 berlaku di tempat kerja, 19% di pusat tahanan, 14% di kediaman, 5% di rumah ibadat atau aktiviti keagamaan dan masingmasing 2% kes import dan kumpulan berisiko.

15. Saya ingin mengingatkan bahawa Kerajaan tidak akan teragakagak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP yang sedang berkuatkuasa. Satu Pasukan
Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan PKP yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan Kementerian telah ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP.

Bagi pemantauan di premis-premis kilang dan bukan kilang di negara ini, sehingga 3 Februari 2021, Pasukan Petugas Khas dari MITI telah membuat lawatan tinjauan di 2,276 premis di seluruh negara.  Daripada jumlah ini, sebanyak 197 premis telah diberikan teguran dan 34 diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Pihak PDRM juga telah menengenakan kompaun ke atas 82,141 individu dan membuat 31,740 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

16. Saya menyeru pihak industri dan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan. I urge the industry and the public to comply strictly with the SOPs imposed by the government. The government listens to your
views by not shutting down the economy during the Movement Control Order period. So, please reciprocate this gesture by complying strictly with the SOPs so that we can ensure business and trade will continue to
operate while at the same time help break the chain of COVID-19 transmission at the workplace and in the community.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, Proklamasi Darurat

17. Susulan Proklamasi Darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Ordinan Darurat (Kuasakuasa Perlu) 2021 telah diwartakan pada 14 Januari 2021. Melalui pewartaan Ordinan Darurat ini, satu Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan darurat dalam melawan COVID-19 dapat diurus dengan cekap dan berkesan.

18. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada saudara dan saudari sekalian mengenai tindakan-tindakan yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan menerusi Ordinan Darurat untuk membendung penularan COVID-19.

Ini termasuk pindaan terhadap beberapa Akta sedia ada, pengambilalihan aset-aset penting negara dan penyusunan semula sumber manusia untuk tujuan pengurusan COVID-19 yang lebih cepat, cekap dan berkesan. Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]

19. Sepertimana yang saya sebutkan tadi, pematuhan kepada SOP di tempat kerja, tempat penginapan pekerja dan premis peniagaan dan kilang adalah penting untuk kita memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Tindakan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan untuk memastikan pematuhan kepada SOP. Justeru, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang perlu dipinda untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil. Antaranya ialah:

i. Arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan;

ii. Tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan;

iii. Tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan;

iv. Tindakan kompaun yang lebih tinggi kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran;

v. Tindakan penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP; dan

vi. Tindakan tatatertib ke atas Penjawat Awam yang tidak mematuhi Peraturan dan SOP termasuk kepada Ketua Jabatan berkaitan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah; Pengukuhan Akta 446 – Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446]

20. Penginapan pekerja asing yang sesak dan tidak memenuhi standard menjadi antara punca utama penularan VCOVID-19 dalam kalangan pekerja di negara ini. Sehingga 3 Februari 2021, sektor pengilangan merekodkan jumlah kluster COVID-19 yang tertinggi iaitu 128 kluster, diikuti oleh sektor pembinaan sebanyak 82 kluster dan sektor perkhidmatan sebanyak 61 kluster.

21. Menerusi kuasa yang diberikan kepada Kerajaan di bawah Proklamasi Darurat, Kerajaan sedang dalam proses untuk meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 bagi tujuan menangani isu-isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

Antaranya ialah mewajibkan majikan untuk:

(i) menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard yang ditetapkan;

(ii) menanggung kos penginapan, perpindahan dan kos saringan kesihatan pekerja;

(iii) melaksanakan tindakan pemantauan ke atas pekerja asing sewaktu bekerja di premis pekerjaan dan selepas waktu bekerja di tempat tinggal; dan

(iv) memastikan agen pusat penginapan pekerja menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat dan standard kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan.

22. Kementerian Sumber Manusia akan mengetuai Pasukan Petugas Pengurusan Penginapan Pekerja yang akan mempunyai bidang kuasa yang lebih besar dan menyeluruh menerusi pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990. Penempatan Semula Sumber Manusia dan Aset Sektor Awam

23. Menerusi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Kerajaan juga telah melaksanakan proses penempatan semula sumber manusia, aset dan perkhidmatan sektor awam bagi tujuan mempertingkatkan keupayaan Kementerian dan Agensi tunjang yang mengurus situasi pandemik COVID-19. Ini untuk membolehkan petugas-petugas barisan hadapan di agensi kesihatan dan bukan kesihatan dapat dibantu oleh warga kerja tambahan dari kementerian dan agensi lain.

24. Dengan menggunakan sumber sedia ada, kerajaan dapat mengoptimumkan mobilisasi petugas, aset dan kepakaran tambahan dalam mengurus situasi pandemik. Seramai 20,000 penjawat awam terlibat dalam inisiatif ini yang diurus oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Inisiatif ini tidak melibatkan sebarang pertambahan kos operasi kerajaan.

Penyumberluaran dan Pengambilalihan Sumber.

25. Dalam menghadapi situasi pandemik, Kerajaan mesti memastikan sistem kesihatan di negara kita sentiasa bersedia dan mampu untuk menampung kemasukan pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di
hospital. Dengan trend kenaikan kes-kes positif pada masa ini, sistem kesihatan di negara kita hampir mencapai breaking point. Hospital-hospital COVID-19 termasuk wad-wad Unit Rawatan Rapi telah hampir mencapai
kapasiti 100%. Keadaan ini mesti ditangani segera supaya sistem kesihatan negara kita tidak lumpuh.

26. Dalam konteks ini, salah satu daripada perkara penting dalam pelaksanaan darurat ialah peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasakuasa Perlu) 2021 yang membenarkan penyumberluaran sementara kemudahan kesihatan swasta oleh Kerajaan. Ini meliputi hospital, klinik, makmal, sumber manusia, perkhidmatan dan aset-aset yang difikirkan perlu untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan pandemik. Penyumberluaran ini bersifat sementara sehingga tempoh darurat tamat.

27. Buat masa ini kerajaan telah memulakan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan perubatan swasta untuk menggunakan hospital, klinik, makmal, kepakaran, perkhidmatan dan sumber manusia bagi tujuan
membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Kementerian Kesihatan.

28. Untuk tujuan ini, konsep hospital kluster di antara hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan akan diperluaskan bagi merangkumi hospital-hospital awam lain seperti hospital universiti, hospital angkatan
tentera dan hospital-hospital swasta yang akan digunakan untuk merawat pesakit COVID-19. Hospital swasta akan diletakkan di bawah pengoperasian Hospital Kluster dengan sektor awam di bawah Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu.

29. Bagi tujuan mengurangkan tekanan ke atas hospital-hospital kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk merawat pesakit COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mula bekerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan COVID-19 ke hospital-hospital swasta ini. Kementerian Kesihatan Malaysia memperuntukkan sejumlah RM 27 juta pada tahun 2021 bagi tujuan ini.

30. Bagi pengurusan dan rawatan pesakit COVID-19 di hospital swasta, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mendapat kerjasama yang baik daripada hospital-hospital swasta di seluruh negara. Setakat 3 Februari
2021, pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad ICU.

31. Selain itu, kemudahan makmal kerajaan dan swata juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan COVID-19. Pada masa ini sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari. Kerajaan akan meningkatkan lagi keupayaan makmal kerajaan dan swasta untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19.

32. Melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 ini juga, Kerajaan akan mula mengambilalih kemudahan-kemudahan bagi tujuan menambah pusat saringan COVID-19 dan pusat kuarantin.

33. Bagi aktiviti penyumberluaran dan pengambilalihan ini, suatu bentuk pampasan akan diberikan kepada pemilik premis berdasarkan naziran penilaian oleh pihak kerajaan.

Pengambilalihan Kem PLKN dan Kem Wawasan

34. Kerajaan juga telah menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk membuat pengambilalihan sementara Kem-kem PLKN dan Kem-kem Wawasan yang digunakan sebagai Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penjara sementara. Ini adalah sebahagian daripada tindakan serta merta Kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di depoh-depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia dan penjara yang secara langsung dapat mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan.

Sebanyak 16 kem PLKN dan Kem Wawasan telah diambilalih secara sementara untuk tujuan ini. Tindakan ini juga mampu mempertingkatkan penguatkuasaan kerajaan dalam mencegah kemasukan PATI ke negara ini yang juga
menjadi antara punca penularan COVID-19 di negara kita.

Meningkatkan Keupayaan Penguatkuasaan

35. Untuk meningkatkan lagi keupayaan tindakan penguatkuasaan kerajaan dalam memerangi COVID-19, saya telah mengeluarkan arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menurunkan
kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia bagi membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan semasa membantu agensiagensi lain melakukan tugas pencegahan PATI dan operasi pencegahan COVID-19.

36. Saya juga telah mengarahkan anggota RELA yang berjumlah lebih 3 juta orang di seluruh negara untuk membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis-premis perniagaan dan tempat awam. Selain itu, Kerajaan
juga akan melaksanakan Program Pemerkasaan Komuniti yang akan melibatkan pemimpin masyarakat setempat dalam kempen pencegahan COVID-19 di peringkat komuniti masing-masing.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

37. Vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19. Kerajaan telah berjaya menempah vaksin COVID-19 dengan penghantaran pertama
bekalan vaksin ini dijadualkan tiba di negara kita pada bulan ini.

Penghantaran pertama vaksin COVID-19 ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus.

38. Justeru, suka saya memaklumkan bahawa Kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini. Kita menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

39. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini akan melibatkan tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan
kesihatan. Fasa ini amat penting untuk melindungi frontliners kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19. Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April.

40. Fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19. Mereka ialah warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti
penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini. Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua
ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

41. Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022. Fasa ini
penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh.

42. Untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar, teratur serta memudahkan orang ramai, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara. Saya telah mengarahkan
pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi. Peruntukan di dalam
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh Kerajaan untuk mengambilalih secara sementara dewan-dewan dan kemudahankemudahan yang lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

43. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara kita. Justeru, saya menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama
menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program ini. Anda semua boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya aspek
pendidikan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi bagi menjayakan program
ini.

44. We are all in this together, and only together can we win. Lindung diri, lindung semua.

45. Kerajaan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, para agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulance, pihak swasta dan rakyat Malaysia keseluruhan.

46. Maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan termasuklah mengenai tatacara pendaftaran, lokasi pusat pemberian vaksin serta informasi lain yang berkaitan akan dimaklumkan
dalam sedikit masa lagi.

47. Bagi memastikan program imunisasi ini dilaksanakan dengan teratur, Jemaah Menteri telah bersetuju melantik Yang Berhormat Sdr. Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau akan mengetuai satu Pasukan Pertugas Khas yang menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi Kerajaan. Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan untuk terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan.

Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Negeri

48. Saya juga sedar bahawa Kerajaan Persekutuan tidak boleh bertindak bersendirian tanpa penglibatan Kerajaaan-kerajaan Negeri dalam menghadapi situasi pandemik ini. Terdapat perkara-perkara penting
yang berkaitan dengan pengurusan COVID-19 yang berada di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri.

49. Justeru, Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri untuk memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara bersepadu. Saya telah mengundang semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang diadakan tiga kali seminggu. Banyak isu yang turut melibatkan kepentingan serta peranan negeri dibincangkan dalam sidang khas ini.

50. Di peringkat negeri, Menteri Besar dan Ketua Menteri mempengerusikan mesyuarat di peringkat negeri masing-masing yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi untuk bersama-sama mengurus pandemik ini dengan lebih berkesan. Justeru, setiap peringkat pentadbiran kerajaan mengambil tanggungjawab bersama untuk memelihara keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat.

Hormati Proklamasi Darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

51. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan Proklamasi Darurat. Kerajaan telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku selepas Tuanku berpuas hati bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

52. Seperti yang saya jelaskan secara panjang lebar sebentar tadi, Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

Tindakan tindakan serta merta sedang diambil oleh Kerajaan di bawah peruntukanperuntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa. Proklamasi Darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

53. Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.

54. Sebagai Ketua Kerajaan, saya juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara kita yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan.

55. Sementara itu, saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak Kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

56. Kerajaan telah mengumumkan pelanjutan PKP sehingga 18 Februari 2021. Dalam tempoh dua minggu ini, Kerajaan akan memantau perkembangan kes-kes harian COVID-19 mengikut sektor dan lokaliti serta menilai semula keberkesanan PKP yang dilaksanakan.

57. Apapun tindakan atau langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan pastinya berasaskan kepada matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa
anda semua.

58. Saya memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga matlamat kita untuk menang dalam perang melawan COVID-19 akan dimakbulkan Allah SWT dan kita semua sentiasa berada di dalam limpahan rahmat kasih
sayang dan perlindungan-Nya, amin ya rabbal alamin.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.-SM

(Visited 611 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button