Hiburan

Peminat Rock Kena Bersedia! BARBARIK Pentas Peluru Cokelat Janji Kejutan di Zepp KL, 28 Jun ini!

SELEPAS hampir setahun melakar sejarah dengan kelahiran album sulung Peluru Cokelat, kumpulan rock BARBARIK kini tampil dengan konsert yang istimewa untuk hiburkan peminat pada 28 Jun 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Menjanjikan pelbagai kejutan dan persembahan bertenaga, konsert ini bakal membawa peminat menyelami karya terbaharu daripada album sulung mereka, Peluru Cokelat.

BARBARIK Kembali Mengganas! Konsert Pentas Peluru Cokelat Siap Gegarkan Kuala Lumpur

Walaupun baru tiga tahun menapak dalam industri, BARBARIK yang dianggotai oleh Muss (vokalis), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) telah berjaya menganjurkan empat konsert terdahulu – BARBARIK Pentas Keras 1.0 (2022), Double Trouble 2: Search x Barbarik (2023), BARBARIK Pentas Keras 2.0 (2023) dan BARBARIK Pentas Keras 3.0 (2024).

Namun, buat pertama kalinya, konsert kali ini akan menyaksikan BARBARIK membawa lagu-lagu daripada album mereka sendiri secara langsung di hadapan penonton.

“Jika sebelum ini kami sering membawakan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings dalam enam buah album, kali ini kami tampil dengan karya asli yang benar-benar mencerminkan identiti BARBARIK. Setiap konsert pasti ada kelainan dan elemen kejutan yang menanti pada permulaan, pertengahan dan penutup acara. Kami yakin konsert ini bakal mendebarkan penonton dari awal hingga akhir,” jelas JoBranko.

Konsert selama dua jam ini bakal menampilkan sekitar 20 buah lagu – merangkumi gabungan karya baharu serta beberapa lagu nostalgia. BARBARIK menjanjikan satu persembahan yang membuatkan peminat terpaku sepanjang acara berlangsung.

Info Konsert BARBARIK Pentas Peluru Cokelat

  • Tarikh: 28 Jun 2025 (Sabtu)

  • Masa: 8.30 malam

  • Lokasi: Zepp Kuala Lumpur

  • Penganjur: Karri Talk Production & Pentas Barbarik Sdn. Bhd.

  • Harga Tiket:

    • Cat 1 Free Standing (RM150)

    • Cat 2 VVIP Seating (RM380)

    • Cat 3 VIP Seating (RM280)

    • VIP Box + Meet & Greet (RM8,000)

  • Tiket Boleh Didapati di: ilassotickets.com

Album Peluru Cokelat: Identiti Baharu BARBARIK

Mengulas mengenai album sulung Peluru Cokelat, BARBARIK membuktikan komitmen mereka untuk kekal relevan dalam dunia muzik tempatan. Album ini lahir selepas kejayaan konsert BARBARIK Pentas Keras 1.0 pada Disember 2022, yang menjadi medan reunian JoBranko dan Muss selepas kerjasama mereka dalam Wings dari 1996 hingga 2000.

Kumpulan ini turut menunaikan ‘hutang’ kepada peminat tegar apabila Muss tidak sempat menyanyikan lagu dalam album Mr. Barbarik secara langsung gara-gara meninggalkan Wings sejurus selepas album itu diterbitkan.

“Kami hasilkan Peluru Cokelat sebagai bukti kesungguhan kami bergerak sebagai sebuah kumpulan, bukan sekadar projek sementara. Album ini menampilkan material segar yang membawa BARBARIK ke persada arus perdana dengan lebih teratur dan berstrategi,” kata JoBranko.

Album yang dirakam selama enam bulan sejak Mac 2024 ini menampilkan tujuh lagu, antaranya Peluru Cokelat, Golok Kayu (feat. Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik, Marcapada, Gelap Nan Terang (instrumental), serta Didakap Pesona (radio edit).

Keseluruhan lagu adalah hasil ciptaan JoBranko bersama penulis lirik seperti Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan JoBranko sendiri. Lagu tema, Peluru Cokelat, dipilih sebagai judul album untuk menggambarkan semangat zaman kini, khususnya konflik yang melanda Palestin.

Menariknya, proses mastering album ini dilakukan oleh Don Bartley di Benchmark Mastering, Brisbane, Australia. Album ini turut menampilkan pemuzik undangan iaitu Karl Cromok dan Adi Yamin.

Empat Format Fizikal & Digital

BARBARIK turut membuat kelainan dengan melancarkan album Peluru Cokelat dalam empat format: cakera padat (CD), piring hitam (vinyl), kad USB serta versi digital yang dihantar melalui emel.

“Walaupun era digital semakin dominan, permintaan terhadap album fizikal sangat tinggi di kalangan pengumpul. Kami sanggup lakukan ‘kerja gila’ ini demi peminat kerana album fizikal mempunyai nilai sentimental yang tersendiri,” tambah JoBranko.

Album boleh didapati menerusi laman web rasmi serta Shopee di akaun Pentas Barbarik Store.

Sejarah BARBARIK: Dari Epik ke Pentas Rock Malaysia

Nama BARBARIK diinspirasikan daripada album studio Wings ke-9, Mr. Barbarik (2000), yang dihasilkan oleh JoBranko dan menampilkan Muss sebagai vokalis. Kini, semangat dan legasi album tersebut diteruskan menerusi kumpulan BARBARIK, dengan logo yang turut mengambil inspirasi daripada kulit album Mr. Barbarik.

Asal-usul nama BARBARIK adalah dari Epik Mahabharata — merujuk kepada satria sakti yang mempunyai kekuatan luar biasa dalam perjuangan demi kesejahteraan insan.

BARBARIK dianggotai oleh empat pemuzik berpengalaman yang telah mewarnai dunia muzik rock Malaysia hampir empat dekad.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button