Politik

Pemimpin UMNO berilah peluang pemimpin DAP pula jadi jaguh

SELAMA kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, para pemimpinnya dilihat kurang berkesan sebagai pembangkang dan lebih banyak mendiamkan diri.

Serangan ke atas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cuba dijalankan melalui media sosial dan kumpulan mesej ringkas tidak berkesan, sehingga mereka dilihat gagal menjadi pembangkang selepas menjadi kerajaan 22 bulan.

Tiba-tiba mereka mendapat momentum apabila kes membabitkan portal Malaysiakini yang didapati bersalah menyiarkan komen pembaca yang menghina mahkamah.

Kejayaan memungut RM500,000 bagi membayar denda itu, menjadi semangat baharu para pemimpin pembangkang terutama DAP dan sekali gus meningkatkan kembali populariti mereka.

Selama ini media lebih banyak menyorot pergaduhan di antara para pemimpin di dalam PN khususnya UMNO dengan Bersatu.

DAP hanya mendiamkan diri sambil memikirkan ini adalah ibarat Bulan jatuh ke riba. Isu yang dicipta oleh PN sendiri dan kini memberi kelebihan kepada PH.

Ketika Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik Covid-19, para pemimpin cuba menjuarai isu itu, tetapi tidak berjaya kerana para pemimpin UMNO lebih lantang berbanding mereka.

Begitu juga masalah rakyat yang dihadapi dalam situasi pandemik ini, para pemimpin UMNO lebih ke hadapan berbanding DAP.

Dan kini satu-satu isu yang tidak diambil kisah dan campur tangan ialah membabitkan Malaysiakini. Dan inilah yang yang memberi ruang dan peluang pemimpin DAP untuk menunjukkan taringnya.

Kejayaan mengutip dasa yang besar dalam masa yang singkat lantas dikaitkan dengan sokongan rakyat kepada PH sudah kembali. Walaupun mungkin benar dan mungkin juga tidak.

Sumbangan orang ramai ini boleh saja dijadikan sebagai sesuatu yang dramatis, pada hal ada dana lain yang mendanai kutipan berkenaan. Bagaimanapun dalam kes Malaysiakini mungkin juga ia benar sumbangan rakyat jelata yang setia dengan PH.

Pengajaran kepada pemimpin UMNO. Jika mereka terus menjuarai isu rakyat, sebenarnya DAP dan seangkatan dengannya tidak mempunyai ruang di hati majoriti rakyat.

Ini adalah UMNO sejak dahulu kala memang sinonim dengan peranan membantu rakyat. Namun kebelakangan ini mereka telah terpisah daripada rakyat.

Para pemimpin yang baharu setahun dua menjadi wakil rakyat atau hanya mememang jawatan di dalam parti sudah mula mempamerkan kemewahan masing-masing. Mereka juga lebih gemar bergaul dengan golongan elit berbanding jelata yang meletakkan mereka di puncak perdana.

Apa yang dibuat pemimpin UMNO pada masa ini belum cukup lagi. Mereka perlu kembali ke akar umbi dan berbaur dengan masyarakat. Jika ini dilakukan, DAP tidak ada harapan untuk kembali berkuasa.

Majoriti orang Melayu bukan suka dengan DAP, tetapi mereka sakit hati dengan pemimpin UMNO, itulah punca mereka mengubah sokongan pada pilihan raya lalu.

Insaflah pemimpin UMNO. Bagi DAP anda perlu bekerja lebih keras untuk mengembalikan keyakinan majoriti selepas kegagalan menunaikan janji pilihan raya tempoh hari.

(Visited 497 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button