
Pemimpin PN ‘bunuh’ demokrasi tidak layak jadi PM – Hassan Karim
BEBERAPA pemimpin pembangkang yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mewakili Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak layak untuk memimpin Kerajaan Persekutuan.
Oleh itu katanya, mencadangkan individu berkenaan sebagai alternatif kepada perdana menteri yang ada sekarang adalah satu tindakan merbahaya dan ancaman terhadap demokrasi di Malaysia.
“Saya ingin memberi satu sebab sahaja bahawa adalah berbahaya kerajaan Persekutuan diserah pentadbirannya kepada pemimpin PN sekarang, yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.
Beliau menamakan beberapa bekas pemimpin era pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai calon iaitu Muhyiddin sendiri, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Malah beliau sendiri, katanya, pada waktu itu terlibat protes melalui tindakan undang undang ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan kerajaan PN mengisytiharkan darurat di seluruh Malaysia dan menggantung Parlimen.
“Pengkhianatan terhadap rakyat yang sukar dimaafkan. Maka selagi Bersatu dan Pas dipimpin oleh generasi lama yang bertanggungjawab membunuh demokrasi dengan menggantung Parlimen dan menutup jalan ke sana dan mengisytiharkan Darurat di seluruh negara, maka selagi itu amat bahaya memberi kuasa kepada mereka yang ada rekod menghancurkan demokrasi di Malaysia,” katanya.